ALOR SETAR- Kementerian Kewangan menasihatkan orang ramai agar tidak tergesa-gesa mengisi petrol Budi Madani RON95 (BUDI95) ekoran pelaksanaan sistem itu yang dibuka sepenuhnya kepada semua yang layak bermula tengah malam ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, pihaknya menjangkakan kesesakan di stesen petrol ekoran fasa ketiga BUDI95 akan dibuka kepada 16 juta warganegara berumur 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif.
“Jadi di sini akhirnya saya nak tekankan kepada rakyat jangan tergesa-gesa. Jangan tergesa-gesa kata nak pergi beli minyak pada RM1.99. Ini bukan satu hari sahaja, bukan satu minggu, bukan satu bulan.
“Ini untuk jangka masa panjang. Kalau jika tanya sampai bila? Tak tahu. Saya tahu seperti Sara sebelum ini semua nak pergi cuba, tapi kita harap semua jangan tergesa-gesa sebab kita jangka esok mungkin lebih ramai akan pergi cuba dengan kad pengenalan mereka,” katanya selepas hadir pada Program Pengisian Minyak Subsidi RON95 di sebuah stesen minyak di sini semalam.
Kata beliau, sebanyak 11.5 juta liter petrol RON95 bersubsidi berjaya ditebus semalam pada harga RM1.99 seliter menerusi fasa kedua pelaksanaan Budi95, melibatkan lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di seluruh negara.
“Jumlah itu bersamaan RM22.9 juta pembelian direkodkan dalam tempoh sehari, dengan proses penebusan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan. Fasa pertama program berkenaan bermula 27 September lalu melibatkan 300,000 anggota polis dan tentera,” katanya.-KOSMO! ONLINE.