JOHOR Darul Ta’zim (JDT) tetap memiliki skuad terbaik biarpun hilang trio warisan negara menjelang aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang FC Machida Zelvia di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.
Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel adalah tiga daripada tujuh pemain warisan negara digantung 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) disebabkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.
Empat lagi bintang Harimau Malaya yang digantung ialah Facundo Garces (Alaves), Rodrigo Holgado (America de Cali), Imanol Machuca (Velez Sarsfield) dan Gabriel Palmero (Unionistas de Salamanca).
Munoz memilih untuk tidak mengulas mengenai situasi tiga tonggak utamanya, sebaliknya memberi tumpuan penuh pertemuan menentang kelab Jepun itu.
“JDT mempunyai 34 pemain yang bersiap sedia untuk diturunkan. Kita juga sudah mempersiapkan pasukan dengan taktikal akan digunakan menjelang pertemuan itu.
“Semua pemain berada di tahap terbaik untuk berada dalam kesebelasan utama dan kami sudah mengenal pasti pemain yang akan diturunkan bagi memburu kemenangan pertama ACLE musim ini.
“Sudah tentu Harimau Selatan akan bermain mati-matian bagi memburu tiga mata walaupun kena akui ia bukanlah tugas mudah kerana Zelvia merupakan pasukan yang hebat,” katanya.
Dalam masa sama, Munoz juga yakin JDT mampu memadam rekod buruk yang tidak memihak mereka setiap kali menentang lawan dari Jepun apabila hanya menang satu daripada 11 perlawanan.
“JDT perlu berwaspada dan tidak terikut gaya permainan lawan yang mempunyai kelebihan fizikal dan teknikal permainan berbeza. Ia perlawanan menarik bagi dua pasukan yang memburu kemenangan pertama.
“Penting buat pasukan memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri dan cuba menguasai permainan seperti biasa. Ini juga ukuran melihat kemampuan JDT bersaing di tahap tertinggi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE