INDUSTRI penternakan moden kini melangkah jauh dengan penerapan teknologi robotik yang bukan sahaja meningkatkan kecekapan, tetapi mampu menjamin kesejahteraan haiwan.
Inovasi kandang lembu berkonsepkan robotik yang diperkenalkan oleh syarikat penternakan Belanda iaitu Lely menjadi simbol transformasi teknologi masa kini.
Malah, syarikat itu turut menjadi antara pelopor dalam memperkenal sistem robotik pemerahan susu komersial pertama dunia.
Syarikat penternakan Lely diasaskan pada tahun 1948 di Maassluis bermula sebagai kandang biasa dan kini terus optimis dalam meningkatkan kualiti hasil ternakan bermutu tinggi saban tahun.
Menurut Ketua Rekaan dan Inovasi Robotik Lely, Jan Jacobs, sistem robotik yang dibangunkan bukan sahaja bertujuan untuk memudahkan urusan pekerja, tetapi menjaga kebajikan haiwan ternakan.
Sistem tersebut membantu penternak dalam melaksanakan keseluruhan tugas meliputi pembersihan, memberi makan, perahan susu dan menganalisis tahap kesihatan lembu secara teratur.
“Sejumlah pekerja tidak lagi diperlukan untuk menguruskan kandang kerana segalanya boleh dilakukan secara automatik oleh robot autonomi.
“Penternak mungkin tidak perlu memantau atau pergi ke kandang selama beberapa jam kerana segala maklumat dapat dikemas kini secara digital,” katanya kepada portal IEEE Spectrum.
Kaedah moden itu berbeza dengan cara konvensional yang memerlukan pekerja untuk memantau keadaan lembu sama ada bagi memberi makan, memerah susu atau membersihkan najis.
Menerusi konsep robotik itu, Jacobs memberitahu, proses perahan susu juga dapat dibuat pada bila-bila masa mengikut keselesaan dan kehendak haiwan menerusi sejenis robot dipanggil Lely Astronaut.
Perkara itu sekali gus membuatkan haiwan bebas tekanan dan jumlah susu yang dihasilkan juga meningkat.
Prosesnya di mana lembu masuk sendiri (secara sukarela) ke stesen pemerahan, dan seterusnya robot akan mengenal pasti haiwan tersebut menggunakan cip Radio Frequency Identification (RFID).
Cawan penyedutnya dilengkapi dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mengenal pasti kedudukan ambing dan membuat perahan susu.
Setelah itu, ambing akan dibersihkan untuk memasang cawan penyedut bagi mengawal aliran susu secara automatik. Pada masa sama, data mengenai jumlah, kandungan lemak dan kualiti susu dapat direkodkan terus ke dalam sistem.
“Berbeza dengan cara ladang tenusu tradisional yang kebiasaan akan memerah susu dua kali sehari, kali ini berbeza apabila robot mampu melakukannya mungkin lebih banyak.
“Proses perahan susu juga tidak akan memberikan lembu tekanan dan berasa stres sehingga penghasilan susu juga berkurangan.
“Bahkan menerusi kaedah ini, lembu dapat mengeluarkan kira-kira 10 peratus lebih susu apabila jadual memerah susu diserahkan sepenuhnya kepada haiwan itu sendiri,” katanya.
Bagi aspek pemberian makanan pula, sistem automatik Lely Vector iaitu robot bergerak yang boleh menimbang dan mencampur akan mengagihkan makanan mengikut keperluan setiap kumpulan lembu sepanjang hari.
Sistem ini mampu mengambil alih kerja manusia dalam tugas memberi makan lembu sebanyak 60 hingga 80 peratus daripada keseluruhan proses.
Kaedah automasi jelas dapat menjimatkan masa dan memastikan lembu mendapat nutrisi secukupnya tanpa pembaziran.
“Sekiranya sebelum ini pekerja memerlukan masa sekitar 10 jam sehari untuk kerja memberi makan lembu, tetapi dengan Lely Vector masa itu boleh berkurang kepada hanya dua hingga empat jam sahaja kerana selebihnya robot yang uruskan.
“Pengagihan makanan akan dibuat secara automatik mengikut jadual, manakala manusia cuma perlu tambah stok bahan makanan atau pantau sistem sekali-sekala,” ujarnya.
Beralih kepada soal pembersihan dan kebersihan kandang, robot Lely Discovery pula akan mengambil alih tanggungjawab tersebut dan mampu berfungsi sepanjang hari untuk mengutip sisa najis menggunakan sistem sedutan atau pengikis automatik.

Mesin tersebut akan memastikan lantai sentiasa bersih, mengurangkan risiko penyakit dan meningkatkan keselesaan lembu. Lely Discovery merupakan robot mudah alih yang berfungsi seakan vakum dan bergerak secara autonomi mengikut laluan diprogramkan.
Bagi memastikan aliran sedutan lancar, robot akan menyemburkan sedikit air di hadapan sebelum proses sedutan dilakukan agar najis lebih mudah dikutip.
Lely Discovery ialah robot pembersih najis automatik yang direka khusus untuk memastikan lantai kandang lembu sentiasa bersih dan selesa.
Semua najis yang dikutip disimpan di dalam tangki simpanan, dan setelah penuh, robot secara automatik bergerak ke stesen pelepasan (discharge station) untuk dimasukkan ke dalam longkang atau tangki kumbahan ladang.
Robot tersebut mampu bekerja berulang kali sepanjang hari tanpa perlu tenaga kerja manual sekali gus membuatkan lantai menjadi lebih bersih, kurang berbau dan selesa untuk lembu.
Alat itu turut dilengkapi sensor keselamatan untuk mengelak perlanggaran dengan lembu atau halangan lain yang membolehkan ia beroperasi tanpa mengganggu pergerakan haiwan.
Beralih kepada aspek pemantauan kesihatan, ladang moden itu menggunakan sensor pintar yang dipasang pada lembu, sama ada kolar atau tag telinga.
Data seperti kadar pergerakan, selera makan, suhu badan dan aktiviti menguyah direkodkan secara masa nyata. Semua maklumat yang diperoleh akan disatukan dalam perisian berasaskan awan (cloud) dinamakan Lely Horizon.
Berdasarkan maklumat tersebut, penternak boleh membuat analisis untuk mengetahui sekiranya wujud tanda awal penyakit atau perubahan tingkah laku haiwan.
Melihat kepada teknologi yang diperkenalkan, seorang penternak Josie Rozum tertarik untuk menggunakan mesin keluaran syarikat tersebut di ladang ternakan miliknya.
Tidak dinafikan pada awalnya dia meragui dengan kemampuan robot untuk melakukan semua tugas dari memberi makan hingga ke memerah susu.
Namun, setelah melihat keberkesanan fungsi robot, Rozum kemudian menggunakan teknologi yang ada bagi menguruskan ladang keluarga kira-kira 1,600 ekar dan memiliki sekitar 200 ekor lembu tenusu di Amerika Syarikat.
“Saya sangat tertarik dengan robot pemerahan susu Lely Astronaut yang membolehkan susu lembu diperah secara automatik tanpa perlu dijadualkan secara ketat.
“Sebelum ini kami perlu menghabiskan masa sekitar enam jam atau lebih untuk melakukan hal sama. Robot Lely Astronaut telah menyenangkan tugas penternak kerana susu yang dikumpul terus masuk ke dalam tangki penyimpanan.
“Cawan pemerah juga menggunakan bahan keluli tahan karat dan mempunyai berus untuk membersih ambing. Cara sebegini lebih bersih dan membuatkan susu diperah tidak mudah rosak,” ujarnya.
Susu disedut melalui cawan pemerahan akan terus masuk ke tangki pukal dengan sistem penyejukan automatik yang mampu menurunkan suhu susu kepada kira-kira 4 darjah celsius dalam masa dua jam selepas pemerahan bagi mengelakkan pertumbuhan bakteria.
Tangki dilengkapi pengacau (agitator) bagi memastikan susu sentiasa bercampur sekata dan tidak berlapis, manakala kualiti susu dipantau berterusan oleh sensor.
Evolusi dari kaedah konvensional ke moden itu jelas menunjukkan sektor penternakan bergerak ke arah pertanian pintar (smart farming), di mana teknologi digital dan automasi menjadi kunci utama dalam meningkatkan hasil, mengurangkan kos serta menjaga kebajikan haiwan.
Dengan sokongan inovasi sebegini, masa depan industri penternakan dijangka lebih mampan dan berdaya saing di peringkat global.
Secara keseluruhan, ladang tenusu moden yang menggunakan penuh sistem Lely mampu menguruskan rutin harian seperti perah susu, memberi makan, pembersihan dan pemantauan sehingga 70 hingga 85 peratus dilakukan oleh robot.
Meskipun mengetengahkan elemen robotik, namun kehadiran manusia tetap penting untuk memastikan sistem dapat berjalan lancar dan memberi keseimbangan antara manusia dan robot.














