fbpx
Anwar ketika beramah mesra bersama Orang Berinsuran (OB) Perkeso selepas perasmian WSFF, di Pusat Konvensyen KLCC, Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh AMIR KHALID/KOSMO!

Kerajaan komited pastikan SKBBK diluluskan segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kerajaan komited dalam memastikan pindaan ke atas Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) diluluskan segera agar perlindungan 24 jam dapat diberikan kepada para pekerja yang berada di luar tempoh bekerja.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia merupakan usaha berterusan kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) di bawah pimpinan Menterinya, Steven Sim Chee Keong.

Menurut beliau, pindaan tersebut iaitu Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) akan dipinda di dalam akta tersebut yang turut dijenamakan semula oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) baru-baru ini iaitu LINDUNG Pekerja.

“Kerajaan sedang bergerak memperkukuh kerangka undang-undang sebagai contoh, kerajaan akan memperkenalkan SKBBK untuk memastikan pekerja dilindungi bukan sahaja ketika waktu bekerja, tetapi juga di luar waktu kerja.

“Ini lahir daripada kesedaran bahawa tekanan kerja tidak berhenti di pintu kilang atau pejabat,” katanya ketika berucap pada Forum Keselamatan Sosial Sedunia (WSSF) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.

Tambah Anwar, dalam era kerja fleksibel dan jarak jauh, reformasi ini akan menyelaraskan perlindungan dengan realiti cara hidup dan cara kerja hari ini.

Beliau berkata, undang-undang baharu tersebut dilihat akan meluaskan perlindungan sepanjang masa, mengiktiraf bahawa kemalangan dan kecederaan tidak mengikut jadual.

Pada masa yang sama, Anwar berkata, kerajaan akan mengintegrasikan sistem digital supaya perlindungan dapat disampaikan dengan lebih berkesan dan tiada komuniti, walau sejauh mana sekalipun, yang terpinggir.

“Kemajuan sedang berjalan, walaupun masih jauh dari sempurna.

“Tetapi keyakinan yang memandu kita jelas iaitu kemakmuran sebenar bukan diukur dengan saiz pencakar langit atau Keluaran Dalam Negeri Kasar, tetapi dengan maruah hidup rakyat biasa dalam kehidupan seharian mereka,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa cabaran perlindungan sosial tidak boleh ditanggung oleh satu negara sahaja memandangkan jurang antara negara kaya dan miskin masih ketara.

“Sedangkan cabaran global seperti perubahan iklim, gangguan teknologi dan penghijrahan paksa tidak mengenal sempadan.

“Jika modal boleh menyeberangi benua demi keuntungan, maka ukuran solidariti juga mesti menyeberangi sempadan demi keadilan.

“Kita mesti mula melihat keselamatan sosial sebagai sebahagian daripada ekosistem global,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN