PETALING JAYA – ILTIZAM, cabang Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas),telah meraikan kejayaan 160 bekas banduan yang telah menamatkan Program Heads Up Second Chance 2025 yang dijalani mereka selama sembilan bulan.
Melalui program tersebut, banduan atau ‘orang yang diparol’ diberi latihan vokasional, kemahiran kebolehpasaran dan sokongan berstruktur untuk membantu mereka membina semula kehidupan secara bermaruah serta mencapai pendapatan yang stabil.
Pengarah Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Ekuinas, Hizwani Hassan berkata, kejayaan ini
tidak mungkin dicapai tanpa kerjasama erat antara rakan strategik Jabatan Penjara Melaka,
PERKESO Negeri Melaka dan rakan NGO ILTIZAM, Saora Industries.
Menurut beliau, kerjasama ini telah mewujudkan satu ekosistem holistik yang menghubungkan latihan dengan peluang pekerjaan sebenar.
“Matlamat kami bukan sekadar melengkapkan orang yang diparol dengan
kemahiran praktikal, tetapi juga memastikan mereka disalurkan ke laluan pekerjaan yang
mampan.
“Kami amat menghargai dedikasi semua pihak, khususnya pegawai-pegawai Jabatan
Penjara Melaka, yang komited memberi peluang kedua walaupun berdepan pelbagai cabaran,” katanya dalam kenyataan.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2022, program ini telah memperkasakan lebih daripada 500 individu, dan tahun ini, 160 peserta telah berjaya memperoleh pekerjaan dalam pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman,pertanian, pembuatan, hospitaliti, perkhidmatan mencuci kenderaan serta pembersihan dan penyelenggaraan.
Majlis graduasi telah berlangsung di Dewan Kristal Wisma PERKESO Negeri Melaka dengan meraikan pencapaian 160 peserta yang kini diiktiraf sebagai orang diparol.
Program ini telah diperkenalkan pada tahun 2022 yang mana 55 peserta daripada Sekolah HenryGurney serta orang yang diparol telah disokong, dan mereka kini bekerja dalam sektor
hospitaliti dan makanan dan minuman.
Pada tahun 2023, seramai 135 individu diperkasa untuk kembali ke masyarakat dengan keyakinan dan mereka mampu berdikari.
Pada 2024 pula, 100 peserta berjaya mendapat pekerjaan tetap manakala 50 banduan wanita dari Penjara Kluang,Johor dilengkapkan dengan kemahiran membuat kek, menjahit dan berkebun untuk menjana pendapatan yang stabil.-KOSMO! ONLINE