PETALING JAYA – “Masih terngiang-ngiang suara raungan ibu dan ayah bayi itu. Sebab saya yang terpaksa beritahu mereka anak mereka sudah tiada. Sampai hari ini saya masih teringat tangisan mereka,” luah seorang saksi kemalangan yang mengorbankan seorang bayi berusia 12 bulan di Plaza Tol Bukit Kajang, semalam.
Menurut saksi, Ridhwan Mohamad, insiden berlaku apabila sebuah lori hilang kawalan lalu merempuh beberapa kenderaan termasuk kereta dinaiki sekeluarga, sebelum bayi malang itu tercampak keluar dan digilis kenderaan lain.
Katanya, dia yang kebetulan berada di lokasi kejadian terus berhenti dan berlari ke arah kenderaan yang remuk teruk menghentam tembok jalan.
“Saya nampak seorang lelaki terbaring, masih hidup, hanya luka di muka. Saya cuba tenangkan dia, ambil nombor isterinya dan hubungi keluarga.
“Tak lama kemudian, saya berlari ke arah kereta lain yang dinaiki keluarga bayi itu. Masa saya sampai, ibunya sudah meraung sambil mendukung anaknya.
“Dia menangis sekuat hati bertanya, ‘mana anak saya? Tolong bagitahu saya anak saya macam mana?’,” katanya ketika berkongsi pengalamannya menerusi hantaran di TikTok.
Ridhwan berkata, detik paling perit ialah ketika dia sendiri terpaksa memaklumkan kepada pasangan tersebut bahawa bayi mereka sudah meninggal dunia.
“Saya tak sanggup sebenarnya, tapi bila ibu itu mendesak berkali-kali, saya terpaksa cakap. Saat itu dia meraung dan terus mendakap bayinya.
“Dia ulang-ulang cerita… pagi tadi anaknya makan banyak, ceria, ketawa. Masa dia peluk anaknya yang sudah tak bernyawa, hati saya luluh. Saya hanya mampu minta maaf,” katanya.
Lelaki itu juga memaklumkan bahawa keluarga berkenaan menunggu hampir 10 tahun untuk mendapatkan cahaya mata tersebut.
“Aku minta kakak itu untuk bersabar dengan berita dan ujian ini. Sehinggalah ambulans sampai, aku tolong angkat bayi itu masuk ke dalam sambil akak itu berkali-kali merayu nak tengok anak dia.
“Kemudian ibu kepada akak itu (nenek mangsa) yang duduk di dalam ambulans bagitahu yang diorang dah tunggu 10 tahun nak dapatkan mangsa. Ya Allah, sedihnya bila aku dengar itu dan aku hanya mampu minta maaf,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, seorang bayi lelaki berusia 12 bulan maut manakala lapan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang semalam.
Dalam kejadian itu, kemalangan melibatkan sebuah lori tiga tan yang membawa barangan lusuh, kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan X-Trail milik Jabatan Kerja Raya (JKR), sebuah kereta jenis Honda City dan Proton X70. – KOSMO! ONLINE
@my.ridhwan♬ original sound – Ridhwan Mohamad