REMBAU – Seorang bapa tidak dapat melupakan pertanyaan anak tunggalnya, Abdul Fattah Khairol Rizal, 9, yang maut selepas terjatuh dalam lubang kumbahan ketika program sukan sekolah pagi tadi mengenai syurga selepas kematian.
Khairol Rizal Mustafar, 42, berkata, dia segera mengiyakan pertanyaan anak kedua dari empat beradik itu, namun menasihati Abdul Fattah supaya tidak berfikir tentang kematian kerana usianya masih kecil.
“Dia (Abdul Fattah) pernah pernah tanya saya ‘Abi, kalau budak kecil meninggal terus masuk syurgakan’. Saya kata ya dan dia kata nak mati masa kecil nanti boleh terus masuk syurga. Senang, dia kata.
“Saya tanya kenapa cakap begitu. Seingat saya Fattah tanya soalan ini sudah lama,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau, di sini, hari ini.

Cerita lelaki itu, pagi tadi dia bersama Abdul Fattah dan anak ketiganya menghadiri acara sukan di Sekolah Kebangsaan Dato’ Klana Putra, Lenggeng, Nilai.
“Mereka nampak teruja, malah pada Khamis lepas saya beri mereka topi baharu sempena sukan,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! Melaporkan seorang murid lelaki berusia sembilan tahun maut selepas terjatuh dalam lubang kumbahan pada kedalaman 1.8 meter di sebuah sekolah di Lenggeng pada pukul 9.20 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE