TANGKAK – Seramai 9,565 pegawai dan anggota polis Johor menerima manfaat subsidi sempena pelaksanaan Budi Madani RON95 (Budi95) yang melibatkan anggota tentera dan polis di seluruh negara bermula hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pelaksanaan Budi95 kepada anggota keselamatan hari ini berjalan dengan lancar dengan kerjasama pihak stesen minyak.
“Alhamdulillah dari segi proses apabila kita melihat simulasi yang ditunjukkan oleh pihak stesen minyak di sini, saya rasa proses isian minyak adalah mudah, tidak ada yang membebankan.
“Saya percaya kakitangan di stesen minyak telah pun bersiap sedia untuk menghadapi keadaan ini di masa akan datang apabila diperluaskan pada seluruh rakyat Malaysia 30 September ini,” katanya ketika ditemui di sebuah stesen minyak di Tangkak hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, pendaftaran awal mungkin mengambil sedikit untuk membuat semakan.
“Seramai 9,534 anggota polis Johor yang aktif menerima manfaat ini di mana maksud aktif ini mereka yang bersedia menjalankan tugas-tugas kepolisan.
“Manakala 65 orang jawatan yang tidak aktif di mana mereka yang sedang bercuti panjang atau mereka yang sedang menghadapi tindakan tatatertib,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE