PORT DICKSON – Keluarga Prebet Muhammad Zulkarnain Jaffar, 27, yang dilaporkan hilang ketika bertugas di Pulau Mataking, Semporna, Sabah pada 12 September lalu dibawa meninjau lokasi tersebut hari ini.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, tinjauan itu dibuat susulan permintaan waris mangsa dan pihaknya menghormati permintaan tersebut.
“Pihak Tentera Darat membuat lawatan kebajikan ke atas waris anggota pada 23 dan 24 September lalu. Terbaharu, ada permintaan daripada waris Prebet Muhammad Zulkarnain untuk melihat sendiri tempat kejadian.
“Permohonan ini diluluskan. Hari ini, bapa, ibu tiri dan bapa saudara anggota itu akan dibawa ke Pulau Mataking. Saya tidak boleh ulas sebab di bawah kawal selia Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) yang berpangkalan di Tawau,” katanya pada sidang akhbar selepas Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 203/2025 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan anggota tentera, Prebet Muhammad Irfan Haiqal Abdullah, 20, ditemui tidak sedarkan diri di pantai Pulau Mataking pada pukul 9.25 malam hari kejadian, manakala Prebet Muhammad Zulkarnain masih belum ditemui sehingga kini
Beliau berkata pihaknya masih mengikuti secara dekat kes itu walaupun pencarian secara berpusat oleh semua agensi dihentikan pada 23 September lalu atas persetujuan keluarga. – KOSMO! ONLINE