PETALING JAYA – Invididu yang menarik diri daripada misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla telah digantikan dengan kapten dan kru terlatih.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre, Datuk Sani Araby Abdul Halim Araby berkata, penarikan diri mereka daripada misi berkenaan itu telah dijangka.
“Dalam masa sama, berlaku kerosakan teknikal di kapal Family Mediera serta beberapa kapal lain dan pasukan teknikal sedang menguruskan kerja-kerja pembaikan segera.
“Penstrukturan semula kedudukan peserta di bot dilakukan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran misi. Sehingga kini, tiada bot yang menarik diri daripada misi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kapal misi berkenaan kini berada di perairan Greece dan belum memasuki zon kuning, manakala semua delegasi Malaysia berada dalam keadaan sihat.
“Tiada laporan rasmi aktiviti dron direkodkan semalam. Insiden terakhir adalah serangan bom bunyi oleh 15 dron pada 22 September 2025.
“Susulan insiden itu, Kerajaan Itali dan Sepanyol telah menghantar dua kapal tentera bagi membantu kawalan keselamatan.
“Kapal-kapal ini telah tiba dan dilaporkan dilihat oleh delegasi Malaysia di perairan Mediterranean. Coast Guard Greece juga sedang mengawal kawasan perairan yang flotila berada,” katanya.
Sani Araby berkata, ketika ini pelbagai naratif propaganda dimainkan bagi menimbulkan ketakutan dan bertujuan melemahkan semangat delegasi secara langsung mahupun tidak langsung.
“Pihak Sumud Nusantara Command Center menegaskan agar semua pihak merujuk pusat ini sebagai sumber sahih. Sebarang maklumat tidak sahih hanya memenangkan propaganda pihak Zionis dan akan membina naratif salah. Sekretariat menegaskan bahawa misi flotila tetap diteruskan ke Gaza.
“Pihak Sumud Nusantara menggesa semua penyokong, media, keluarga peserta dan masyarakat yang mendokong untuk terus menjadi penguat semangat dan tidak terpengaruh dengan cubaan halus melemahkan barisan solidariti antarabangsa ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE