NASIB malang menimpa tiga pemain berpengaruh Harimau Malaya yang berpangkalan di luar negara selepas digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selama 12 bulan berkuat kuasa semalam.
Penyerang America de Cali, Rodrigo Holgado antara yang terjejas selepas diberikan peranan untuk menjadi salah seorang tunjang dalam kesebelasan utama kelab Liga Colombia itu pada tahun ini.
Namun, pengurusan El Rojo dalam satu kenyataan mengesahkan sedia untuk melakukan kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia dalam proses rayuan yang bakal dihantar ke FIFA dalam masa terdekat.
“Kami telah menerima hukuman daripada FIFA ke atas Holgado untuk menggantung pemain ini selama 12 bulan daripada terlibat dengan aktiviti bola sepak.
“FAM dan Holgado bakal melakukan rayuan kepada Jawatankuasa Disiplin FIFA dan harap ia dapat diteliti oleh pihak berkecuali.
“Jabatan Undang-Undang pasukan akan terus bekerjasama dengan FAM untuk memastikan kelancaran proses rayuan nanti,” kata kenyataan tersebut.
Pemain utama kelab Deportivo Alaves, Facundo Garces turut dikenakan hukuman yang sama sekali gus boleh menjejaskan reputasinya selepas dianggap antara pertahanan terbaik La Liga musim ini.
Situasi sama turut dihadapi oleh pemain sayap Velez Sarsfield, Imanol Machuca yang memberikan impak besar untuk memastikan kelab itu menjuarai trofi Piala Super Argentina, awal bulan ini.
Bagaimanapun, pengurusan Alaves dan Velez Sarsfield masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai status pemain mereka.
Selain tiga pemain ini, empat lagi tonggak Harimau Malaya turut menerima nasib malang iaitu tiga pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Jon Irazabal, Hector Hevel, Joao Figueiredo dan seorang pemain kelab liga bawahan Sepanyol, Gabriel Palmero. – KOSMO! ONLINE