PETALING JAYA – Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) bagi menyampaikan bantuan kepada penduduk Gaza, Palestin tetap diteruskan biarpun pelbagai ujian dihadapi sukarelawan.
Perkara itu ditegaskan oleh pihak Sumud Nusantara menerusi hantaran ringkas pada Facebook hari ini
“Penjelasan Nadir Al-Nuri menegaskan bahawa misi kemanusiaan tetap diteruskan dan armada flotila masih bersemangat untuk sampai ke Gaza, membawa suara solidariti dari nusantara bersama masyarakat dunia,” katanya hari ini.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, tidak ada kapal yang menyertai misi kemanusiaan GSF menarik diri dalam pelayaran membawa bantuan kepada penduduk Gaza, Palestin.
Perkara itu ditegaskan oleh Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman yang juga Pengarah Sumud Nusantara menerusi hantaran Facebook.
Misi kemanusian GSF memulakan pelayaran dari pelabuhan Barcelona, pada 31 Ogos lalu dengan usaha untuk memecahkan kepungan haram di Gaza.
Sukarelawan dari 44 negara menyertai misi GSF dengan penyertaan dari Asia digabungkan di bawah inisiatif Sumud Nusantara.
Aktivis Sumud Nusantara terdiri daripada Malaysia, Indonesia, Filipina, Maldives, Bangladesh, Bhutan, Thailand, Sri Lanka, Nepal dan Pakistan. – KOSMO! ONLINE