Setiap kali berlaku kes-kes besar termasuk orang hilang ketika melakukan aktiviti pendakian gunung atau hiking, pasti ada yang dengan sinis tanpa ada perasaan menaikkan komen berbaur sindiran seolah-olah menyalahkan individu tersebut seratus peratus.
Segelintir anggota masyarakat di alam maya atau lebih dikenali panggilan netizen cepat melatah tanpa usul periksa menggunakan jari-jemari menaip bait-bait menjengkelkan dan meremehkan perasaan orang lain.
Bagi netizen terbabit, merekalah yang paling benar dan orang lain semua tidak kena.
Begitu juga dengan kes kehilangan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang sejak Ahad minggu lalu di Gunung Batu Putih, Tapah, Perak turut menjadi ‘serangan’ netizen yang melihat aktiviti hiking sebagai menyusahkan orang terutama bagi pasukan mencari dan menyelamat.
Mereka mendakwa, operasi mencari dan menyelamat menuntut kos, waktu dan tenaga yang tinggi daripada pelbagai agensi.
Bagi mereka ini ‘tidak adil’ buat pasukan berkenaan yang terpaksa berhempas pulas tanpa mengira waktu semata-mata untuk berkorban masa mencari
orang yang netizen anggap sengaja cuai.
Komen paling dahsyat adalah meminta agar aktiviti hiking diharamkan kerana dianggap tidak berfaedah dan banyak membawa kesusahan jika berlaku perkara tidak diingini.
Percayalah, tidak ada orang yang keluar hiking sengaja mahu sesat atau hilang dan mereka semua sentiasa berdoa agar ia berjalan seperti dirancang, selamat pergi dan balik.
Lagipun ia adalah aktiviti yang sihat dan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja.
Ia sangat baik untuk kecergasan kardiovaskular dan kesihatan mental jika dilakukan dengan betul.
Cuma aktiviti mendaki selalu disalahertikan sebagai hobi menyusahkan apabila ada pendaki yang bersikap degil atau tidak peka, terutamanya jika tersesat dan hilang.
Persepsi ini sebenarnya berpunca daripada individu dan bukannya aktiviti itu sendiri.
Tidak dinafikan terdapat juga pendaki yang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP), selain ramai yang menganggap ia mudah, padahal perlukan persediaan mental dan fizikal termasuk badan cergas (fit) atau tidak untuk mendaki.
Justeru, memastikan badan fit sebelum mendaki sangat penting bagi mengelakkan kecederaan dan keletihan melampau.
Kita boleh menilai dan membina stamina melalui beberapa langkah praktikal seperti ujian berjalan pantas (brisk walk) atau senaman ringan.
Tidak perlu membandingkan diri kita dengan pendaki lain kena ikut pace (kelajuan masing-masing) dan jangan lupa mengambil masa untuk berehat.
Selain itu kita mesti peka dengan isyarat badan, sekiranya terasa pening atau sakit dada, berhenti serta-merta.














