PETALING JAYA – Perdana Menteri menegaskan bahawa aset pertahanan akan diperkukuh serta diperlengkap dengan teknologi terkini agar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kekal ampuh menghadapi cabaran keselamatan serantau dan global.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selaras dengan hasrat itu, pihaknya juga mahu semua semua pegawai dan anggota agar memperkukuh penguasaan teknologi baharu.
Malah katanya, pihak ATM juga perlu memperluas kerjasama dengan pelbagai pihak bagi meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi warganya dan keluarga.
“Saya turut menitipkan nasihat kepada Kementerian Pertahanan supaya memastikan setiap perbelanjaan dilakukan dengan penuh telus, berhemah, dan bebas daripada ketirisan.
“Kekuatan pertahanan negara bukan hanya terletak pada aset dan anggota, tetapi turut bergantung pada integriti pengurusan,”katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook hari ini.
Terdahulu, menerusi hantara itu, Anwar telah menyantuni warga ATM di Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2), Sandakan pagi tadi.
Dalam ucapan ringkas pada majlis itu, Anwar merakamkan penghargaan kepada para pegawai dan anggota ATM yang sentiasa menjadi benteng utama mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara.
“Jasa, pengorbanan, kalian adalah tiang seri pertiwi yang tidak ternilai, dan akan sentiasa terpahat dalam ingatan bangsa. Saya tegaskan bahawa Kerajaan Madani tidak akan sekali-kali mengabaikan kebajikan para anggota.
“Usaha terus dipergiat untuk mempercepatkan pelaksanaan projek infrastruktur, termasuk Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dan pembinaan jeti baharu di Pangkalan TLDM Sandakan, demi keselesaan serta kesejahteraan anggota dan keluarga,”katanya. – KOSMO! ONLINE