DENPASAR, Bali – Seorang pelancong Australia berumur 23 tahun yang meninggal dunia di Bali, Indonesia dihantar pulang kepada keluarga dalam keadaan jantungnya hilang, lapor portal berita MSNew semalam.
Byron Haddow dari Noosa di Queensland, ditemui terapung di kolam renang sebuah vila persendirian pada 26 Mei lalu.
Kematian mangsa direkodkan sebagai lemas, namun keluarganya berkata, keadaan yang berlaku tidak masuk akal.
Ibu bapa Byron, Robert dan Chantal Haddow, berkata, mayat anak mereka dihantar pulang hampir empat minggu selepas kematiannya.
Namun, dua hari sebelum pengebumian, mereka dimaklumkan oleh Koroner Queensland bahawa jantung Byron telah dikeluarkan dan ditinggalkan di Bali tanpa pengetahuan atau persetujuan mereka.
Chantal berkata, dia dan keluarganya pada mulanya sedikit lega apabila mayat Byron dikembalikan.
Keluarga itu bagaimanapun mengetahui bahawa jantungnya telah diambil tanpa pengetahuan sesiapa pun dan pihak konsulat, membuatkan mereka amat terkejut.
Keluarga itu kemudian terpaksa menunggu berbulan-bulan dan membayar kira-kira A$700 (RM2,955), untuk menghantar organ tersebut dari Hospital BIMC Bali pulang ke Australia.
Ia hanya dikembalikan selepas pengebumian selesai.
Sijil kematian yang dikeluarkan Hospital BIMC Bali menyatakan lemas sebagai punca kematian, namun ibu bapa Byron segera mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena.
Anak mereka seorang perenang yang kuat, dengan ketinggian 178 sentimeter, manakala kolam vila tersebut hanya sedalam 150 sentimeter.
Mayatnya juga mempunyai kesan luka dan lebam serta darah dilaporkan ditemui pada tuala.
Keraguan mereka semakin bertambah apabila kes itu tidak dilaporkan kepada polis sehingga empat hari kemudian. – AGENSI