SELAYANG – Penyanyi Rafidah Ibrahim berdepan risiko diisytihar muflis dan kemungkinan penyitaan aset sekiranya terus gagal melunaskan bayaran saman fitnah berjumlah RM281,200 kepada ahli perniagaan, Datuk Haris Embong dan syarikatnya, Arisprop Holdings Sdn. Bhd.
Menurut Haris, 48, sehingga kini tiada sebarang maklum balas diterima daripada pihak Rafidah mahupun wakilnya berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Julai tahun lalu.
“Sebanyak 422 hari telah berlalu sejak keputusan itu diumumkan. Namun, Rafidah Ibrahim masih tidak mematuhi terma pembayaran ganti rugi sehingga ke hari ini.
“Maka, firma guaman telah mengeluarkan notis tuntutan kali kedua pada Jumaat lalu, 19 September 2025. Rafidah diberikan tempoh tujuh hari untuk mematuhi keputusan mahkamah.
“Peguamcara Rafidah mengesahkan notis itu diterima pada 22 September 2025. Tetapi, sehingga kini masih tiada sebarang pembayaran dibuat,” katanya kepada Kosmo! Online.
Sementara itu, peguam yang mewakili Haris, Alvin Dev Singh, menegaskan prosedur undang-undang sivil memberi kuasa kepada pihak plaintif untuk mengambil langkah tegas sekiranya keputusan mahkamah terus diingkari.
“Dalam kes sivil, tujuannya bukan menghumban ke penjara, tetapi memastikan ganti rugi dibayar kepada pihak teraniaya.
“Jika masih berdegil, syarikat berhak mengambil tindakan pelaksanaan termasuk menyita aset tertuduh.
“Maknanya, dia tidak boleh lari. Prosedur undang-undang sivil membenarkan tindakan ini,” jelasnya pada sidang media khas saman fitnah membabitkan syarikat Arisprop Holdings Sdn. Bhd dan Rafidah Ibrahim.
Haris turut mendedahkan, beliau pernah berusaha mencari jalan perdamaian di luar mahkamah, namun tidak mendapat sambutan.
“Saya kata boleh hubungi saya terus, tidak perlu wakil. Perkara paling utama bagi saya adalah menjaga reputasi serta imej.
“Malangnya selepas keputusan dibuat, langsung tiada respons. Saya masih terbuka untuk berbincang, tetapi sampai sekarang tiada maklum balas. Kasihanlah pada saya.
“Saya pernah hubungi dia berkali-kali, malah WhatsApp pun ada. Saya tulis panjang lebar minta dia padam posting yang mencemarkan nama baik saya. Namun, selepas beberapa jam, saya hanya terima jawapan ringkas ‘sila berurusan dengan peguam saya’. Memang mengecewakan,” luahnya.
Tambah beliau, meskipun peguam kedua-dua pihak pernah duduk semeja berbincang, keadaan sudah berada di peringkat akhir penghakiman.
Haris turut menegaskan bahawa tindakan saman dan tuntutan yang dikemukakan tidak ada kaitan dengan sebarang kontroversi lain yang sedang melibatkan Rafidah ketika ini.
“Tindakan ini adalah semata-mata untuk membersihkan imej saya sebagai usahawan serta menjaga nama baik syarikat.
“Saya juga ingin menegaskan bahawa kami tidak ada sebarang kaitan dengan mana-mana isu atau pihak, baik dari kerajaan mahupun pembangkang. Semuanya mungkin hanya satu kebetulan,” tuturnya.
Untuk rekod, pada 2021 Rafidah dilantik sebagai Ketua Pemasaran secara kontrak selama dua tahun bagi mempromosikan jenama Aris Burger.
Namun kerjasama berakhir pada Ogos tahun sama sebelum penyanyi itu memuat naik dua hantaran di media sosial yang akhirnya membawa kepada tindakan saman.
Selepas perbicaraan pada Mei lalu, Mahkamah Tinggi mengarahkan Rafidah membayar RM100,000 kepada Haris, RM150,000 kepada Arisprop Holdings, selain faedah lima peratus setahun sehingga bayaran penuh, kos guaman RM30,000 serta fi alokator RM1,200. – KOSMO! ONLINE.