SEBAGAI antara penjunjung bakat John Cena, Peacemaker S2 sememangnya antara naskhah dinanti-nantikan penulis untuk tahun 2025.
Baru sahaja menghabiskan sedikit masa menonton episod pertama musim kedua. Verdict? John Cena sebagai Chris Smith atau Peacemaker memang antara karakter superhero yang membekas.
Nilai empati, lelucon dan kepahlawanan ditonjolkan Cena sememangnya berstatus top-notch.
Penulis secara peribadi sangat terhibur dan dalam masa sama ‘terpukul’ dengan kemenjadian musim pertama. Untuk musim kedua, harapan peminat semakin tinggi dan setakat episod pertama, tidak langsung menghampakan.
James Gunn sebagai showrunner atau individu yang bertanggungjawab menerbitkan jenama Peacemaker tahu benar tugasan yang perlu dilunaskan untuk kembali ‘menghidupkan’ magis komik DC.
Usaha penggantian Justice Gang daripada ‘kegagalan’ Justice League sememangnya satu gerakan genius. Untuk itu, sejuta tahniah untuk James Gunn yang baru-baru ini turut bertanggungjawab ‘menghidupkan’ jenama Superman.
Peacemaker sebuah jenama yang sangat bersifat semula jadi—tidak kisah apa hamburan kritikan daripada audiens. Itu adalah kunci mengapa karya ini begitu dekat dengan para peminat terutama yang tergolong dalam kalangan DC ‘fanboy’.
Barangkali disebabkan tidak tertekan dengan tanggapan skeptikal peminat terhadap dunia adiwira, maka lahirkan produk atau jenama yang sangat rambang kehebatannya.
Sungguhpun begitu, Peacemaker bukan untuk golongan kanak-kanak kerana banyak aksi terkandung dalamnya sangat di ‘luar kotak’ pemikiran.
Buat para ibu bapa, kalau ingin membiarkan anak-anak menonton naskhah ini, pastikan mereka di bawah pengawasan kalian.
Hal ini kerana, Peacemaker atau Chris Smith merupakan antara superhero paling ‘headbanging’, namun pada masa sama, dia sama seperti kita semua; manusia yang memerlukan kasih sayang.