KUALA LANGAT – Sebarang cadangan pindaan undang-undang melibatkan kes jenayah seksual bawah umur perlu diperhalusi secara menyeluruh di Dewan Rakyat agar tidak bercanggah dengan prinsip rogol statutori sedia ada.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, walaupun rogol dikatakan itu seks sama suka antara lelaki dan perempuan, namun dari segi undang-undang adalah salah diletakkan kesalahan kepada kanak-kanak perempuan umur 18 tahun.
“Kita perlu teliti kembali, adakah perundangan itu sekiranya ingin dipinda perlu melihat secara keseluruhan dan bukan sahaja pelaku itu lelaki atau perempuan.
“Jadi, saya kira kita bukan menyalahkan lelaki namun lebih kepada mengapa perkara itu berlaku. Sekiranya perlu ada pindaan undang-undang, perlu dibawa kepada Dewan Rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mydin Mart di Olak Lempit di sini, hari ini.
Beliau menegaskan sebarang perubahan undang-undang perlu mengambil kira punca sebenar berlakunya jenayah seksual, termasuk ketidakadilan sosial, faktor ekonomi serta kelemahan perlindungan keluarga dan masyarakat.
“Undang-undang sahaja tidak akan menyelesaikan isu ini jika punca asalnya tidak ditangani.
“Perkara ini perlu dilihat dari akar umbi, bukan sekadar meletakkan kesalahan kepada mangsa atau pelaku semata-mata ia tidak dapat diselesaikan kerana tidak melihat kepada punca masalah itu,” jelasnya.
Mengulas lanjut, kata beliau, sebarang perbincangan mengenai pindaan undang-undang harus berlandaskan perlindungan kanak-kanak serta prinsip keadilan sosial.
“Kita bukan mahu menyalahkan lelaki atau perempuan, sebaliknya bagaimana insiden sebegini boleh berlaku disebabkan ketidakadilan sosial dipengaruhi faktor ekonomi, fahaman agama dan sebagainya,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat memberitahu sebanyak 90 peratus kes rogol melibatkan remaja bawah umur di negeri itu berlaku atas dasar suka sama suka tanpa paksaan.
Katanya, meskipun kedua-dua pihak terbabit secara rela, hanya lelaki akan didakwa di mahkamah mengikut undang-undang semasa dan perkara itu dilihat tidak adil.
Justeru itu beliau berkata, undang-undang sedia ada perlu diperhalusi semula supaya masyarakat lebih faham kesan kesalahan sekali gus dapat membendung peningkatan kes tersebut. – KOSMO! ONLINE