PETALING JAYA – “Kalau bergerak sikit, memang akan jadi macam ini.”
Itu reaksi doktor klinik gigi apabila tidak sengaja mencederakan wajah pesakit ketika membuat rawatan akar gigi kerana sibuk berborak dengan pembantunya.
Menerusi perkongsian pengguna Threads, wanita berkenaan pada mulanya hanya mengabaikan doktor gigi itu berborak sehingga peralatan perubatan terkena pada wajahnya dan terluka.
“Berderau darah aku masa itu. Dia (doktor) minta pembantunya letakkan gel dan kata ‘kejadian ini luar kawalan saya’ memang saya balas ‘saya tak bergerak langsung dan saya guna muka ini untuk kerja’.
“Doktor itu boleh kata ‘boleh tutup pakai makeup’, aku malas nak kata apa. Selepas itu, klinik itu beri diskaun dan gel rawatan luka,” ujarnya.
Katanya, wanita tersebut membuat aduan kepada pihak pengurusan namun, hanya mendapat diskaun untuk salah satu rawatan akhir yang dirasakan tidak berbaloi dengan kecederaan yang dialaminya.
Menjengah ke ruangan komen, ramai berkongsi mengalami pengalaman sama dan menasihatinya agar membuat aduan ke pihak berkuasa.
“Saman sampai awak rasa puas hati. Saya pernah pengasah tampalan tu terkena gusi tepi gigi sampai berdarah banyak, balik rumah baru nampak gusi terbelah,” komen @Herostheaa
“Sama macam saya, terkoyak bibir sebab acuan nak buat penahan gigi (retainer). Tiga minggu tak boleh nak kunyah makanan sampai kena jumpa pakar sebab jangkitan kuman,” kata Farah.
“Boleh fail pada Tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) untuk tuntutan RM50,000 maksimum,” komen @Eleen_bonnie – KOSMO! ONLINE