MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menganggap Phil Foden sudah kembali menemui sentuhan emasnya selepas membantu pasukan menang 2-0 ke atas Huddersfield dalam aksi Piala Liga Inggeris (EFL), awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, skuad The Citizens yang merupakan juara edisi 2021 mempamerkan aksi dalam dominan untuk lolos ke pusingan keempat hasil jaringan Foden dan Savinho.
Menurut Guardiola, pemain antarabangsa England itu sudah berada pada tahap terbaik selepas beraksi empat perlawanan dalam kesebelasan utama berturut-turut selepas menentang Manchester United, Napoli dan Arsenal, sebelum ini.
“Saya rasa Foden sudah kembali menemui sentuhan emasnya dan bila kita letak dia beraksi di belakang penyerang (posisi No. 10), dia cukup bahaya.
“Foden masih lagi muda dan belum mencapai potensi sebenar tetapi kehadirannya dalam pasukan membantu kita beraksi dengan lebih baik. Cabaran sekarang adalah dia perlukan prestasi yang lebih konsisten,” katanya.
Sementara itu, pertahanan City, Rico Lewis menganggap kehadiran beberapa pemain akademi yang diberikan debut seperti Divine Mukasa, Jaden Heskey dan Reigan Heskey dapat memberi nilai tambah buat pasukan musim ini.
“Saya rasa akademi pasukan telah melahirkan ramai pemain muda berkualiti dan saya harap mereka dapat kekalkan rentak untuk merebut tempat dalam skuad utama,” katanya. – AGENSI