fbpx
Mancha memeriksa perbarisan sempena perhimpunan bulanan terakhirnya sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak yang dianjurkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak di IPK Sarawak, hari ini.

Jenayah komersial meningkat di Sarawak tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUCHING – Jenayah komersial mencatatkan peningkatan kes di Sarawak tahun ini, iaitu sebanyak 57.67 peratus berbanding tahun lalu dengan 2,622 kes direkodkan hingga Ogos lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, jenayah siber seperti penipuan e-dagang, pelaburan palsu, pinjaman tidak wujud dan phone scam menjadi penyumbang utama, dengan jumlah kerugian keseluruhan mencecah RM89.9 juta.

“Antara kejayaan besar Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak adalah termasuk menumpaskan tiga sindiket pusat panggilan di Miri dan Sibu, melibatkan 18 tangkapan dan pertuduhan di bawah Seksyen 424A dan 120B Kanun Keseksaan.

“Turut berjaya ditumpaskan ialah sindiket jual beli emas palsu dan penipuan kod QR di Padawan. Seramai 1,091 pesalah jenayah komersial telah ditangkap sepanjang tahun ini,” katanya.

Mancha yang akan bersara wajib pada 29 September ini berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan terakhirnya sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak yang dianjurkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.

Bagi jenayah narkotik, katanya, sebanyak 7,799 tangkapan telah dicatatkan bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Ogos tahun ini, berbanding 7,489 tangkapan pada tempoh sama tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 248 tangkapan.

Katanya kesemua tangkapan tersebut melibatkan kategori bekalan, memiliki dan urin positif.

“Seramai 448 tokan berjaya ditangkap dalam tempoh tersebut, dengan nilai rampasan pelbagai jenis dadah sebanyak RM23.6 juta, meningkat sebanyak RM11.5 juta berbanding RM12 juta pada tahun lepas,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN