
Buli di sekolah bukan lagi isu terpencil atau sekadar kenakalan remaja. Ia kini menjadi satu fenomena sosial yang semakin membimbangkan dalam landskap pendidikan negara.
Di sebalik pencapaian akademik yang dikejar, tersembunyi satu realiti gelap iaitu penderaan fizikal, emosi dan siber yang berlaku dalam kalangan pelajar, terutamanya di sekolah menengah dan institusi berasrama.
Dalam era pasca pandemik yang sarat dengan cabaran kesihatan mental dan kebanjiran media sosial, buli tidak lagi berbentuk fizikal semata-mata, bahkan turut menyentuh aspek psikologi dan maruah mangsa.
Situasi ini menggambarkan satu krisis nilai yang semakin menular dan jika tidak ditangani secara serius, ia bakal menggugat masa depan generasi muda, aset paling berharga bagi negara.
Gejala buli merangkumi pelbagai bentuk, antaranya buli fizikal seperti menumbuk, menendang dan merosakkan harta benda, buli verbal yang melibatkan ejekan, hinaan serta ugutan, buli sosial yang memulau atau menyebar fitnah dan juga buli siber yang berlaku melalui media sosial seperti WhatsApp, TikTok atau Instagram.
Meskipun ada pelajar yang kelihatan ‘kuat’, ramai sebenarnya menderita dalam diam dengan memendam trauma, hilang keyakinan diri dan takut untuk hadir ke sekolah. Malah, ada kes di mana mangsa terjebak dalam kemurungan kronik dan cenderung mencederakan diri sendiri.
Faktor pendorong
Fenomena ini tidak berlaku tanpa sebab. Antara punca utama termasuk kurangnya didikan nilai murni, pengaruh media sosial yang tidak terkawal, tekanan akademik serta budaya senioriti toksik di sekolah berasrama.
Apabila nilai empati, hormat dan belas ihsan tidak ditanam secara konsisten, pelajar mencari pengiktirafan melalui cara dominasi dan kekerasan. Lebih membimbangkan, segelintir pelajar menjadikan mengejek atau menjatuhkan air muka orang lain sebagai bentuk hiburan normal.
Jika pelaku buli tidak dibimbing dengan betul, mereka berisiko mengembangkan tingkah laku ganas hingga ke alam dewasa termasuk terlibat dalam jenayah, keganasan rumah tangga dan masalah sosial lain.
Dalam konteks ini, sekolah memainkan peranan amat besar, bukan sahaja sebagai institusi ilmu, tetapi sebagai tempat membentuk sahsiah dan perlindungan kepada pelajar.
Justeru, pendekatan sekolah terhadap kes buli perlu melangkaui peraturan dan hukuman semata-mata. Perlindungan kepada mangsa dan saksi mesti dijadikan keutamaan. Saluran aduan yang selamat, rahsia dan berkesan perlu diwujudkan agar pelajar berani tampil bersuara.
Kaunseling perlu diperkasakan bukan hanya sebagai syarat, tetapi ruang pemulihan emosi bagi semua pihak yang terkesan.
Bagi sekolah berasrama, pemantauan asrama dan keberkesanan warden mesti diberi perhatian serius. Rondaan berkala, rekod kejadian dan letakkan televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan strategik sebagai langkah asas wajib dilaksanakan.
Warden bukan sekadar penjaga peraturan, tetapi harus menjadi pelindung dan pembimbing nilai. Pada masa sama, pihak sekolah mesti menunjukkan ketelusan dalam menangani setiap aduan buli.
Jangan sembunyi
Usaha ‘menutup kes’ demi menjaga reputasi sekolah adalah tindakan salah dan mengkhianati amanah ibu bapa serta tanggungjawab kepada pelajar. Setiap laporan mesti disiasat secara objektif dan dilaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya melibatkan kecederaan atau ancaman keselamatan.
Ibu bapa juga tidak boleh meletakkan semua beban kepada pihak sekolah. Komunikasi terbuka dan keprihatinan terhadap perubahan emosi anak-anak perlu diperkasakan di rumah.
Pemantauan penggunaan media sosial, galakan nilai kasih sayang dan adab dalam kehidupan harian serta kerjasama dengan pihak sekolah antara langkah mengurangkan risiko buli.
Masyarakat pula perlu membina budaya lebih cakna, budaya yang tidak menormalisasikan penderaan emosi sebagai ‘pengajaran’ atau buli sebagai ‘adat zaman sekolah’.
Kita perlu menolak naratif yang menutup mulut mangsa, sebaliknya menyokong setiap suara yang meminta keadilan dan perlindungan. Kanak-kanak dan remaja adalah cerminan masa depan negara.
Jika mereka dibentuk dalam persekitaran toksik dan menakutkan, maka kita sedang merosakkan asas pembangunan negara itu sendiri.
Kesimpulannya, gejala buli adalah cerminan krisis kemanusiaan yang sedang melanda sistem pendidikan kita. Ia bukan sahaja meragut keyakinan pelajar, tetapi juga menghakis nilai integriti dalam kalangan masyarakat.
Untuk membina masa depan negara lebih adil dan berperikemanusiaan, kita semua iaitu guru, pentadbir, ibu bapa, pembuat dasar dan masyarakat perlu bersatu membentuk ekosistem pendidikan selamat, penyayang dan berakhlak.
Buli bukan isu kecil. Ia adalah amaran kita sedang kehilangan rasa kemanusiaan dalam membesarkan anak bangsa.
Dr. Muhammad Haziq Zaini ialah Pensyarah Kanan Centre for Fundamental Studies University, Management & Science University (MSU)