ISKANDAR PUTERI – Pengendali Bangkok United FC, Totchtawan Sripan menyifatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai antara pasukan terkuat Asia menjelang aksi Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Sultan Ibrahim, esok.
Totchtawan berkata, kualiti yang dimiliki skuad Harimau Selatan itu bukan lagi rahsia dan dia sudah membuat persiapan rapi untuk menghadapi juara Liga Super 11 musim berturut-turut itu.
Katanya, dia mempunyai pengalaman berdepan JDT dalam kancah Liga Juara-Juara Asia (ACL), dua musim lalu dan pertemuan itu membuka matanya tentang keupayaan yang dimiliki wakil Malaysia tersebut.
“Kami melihat JDT sebagai salah satu pasukan terkuat di peringkat Asia, bukan sahaja di rantau ASEAN. Mereka mempunyai ramai pemain yang berkualiti yang membantu pasukan meraih kejayaan.
“Berbekalkan pengalaman bertemu JDT pada dua tahun lalu, ia sedikit sebanyak membuka mata kami mengenai keupayaan mereka,” kata bekas pemain Thailand era 90-an itu. – KOSMO! ONLINE