KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan penulis blog Papagomo membela diri atas tuduhan menghasut sehingga mendatangkan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung KK Supermart tahun lalu.
Hakim Norma Ismail memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Papagomo atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris, 42, di akhir kes pendakwaan.
“Setelah meneliti keterangan dan hujahan daripada kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie. Oleh itu tertuduh diperintah membela diri,” katanya.
Dalam prosiding itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Wan Muhammad Azri berkata, setakat ini anak guamnya akan menjadi saksi tunggal dalam prosiding bela diri tersebut.
Hakim Norma menetapkan 4 November ini bagi prosiding bela diri.
Sebelum ini, seramai sembilan saksi dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan di peringkat pendakwaan bermula Oktober 2024.
Dalam prosiding hari ini, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nursyuhada Husna Sulaiman.
Pada 2 Mei tahun lalu, Papagomo didakwa menerbitkan penerbitan menghasut berkaitan isu pemilik KK Supermart & Superstore Sdn. Bhd. menghadap Sultan Ibrahim di laman X.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah kondominium di Bukit Bintang, di sini pada pukul 12 tengah hari, 29 April 2024.
Pertuduhan dijalankan mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya. – KOSMO! ONLINE