PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) dengan kerjasama Bahagian Pemakanan dan Kementerian Kesihatan (KKM) menyenaraikan sebanyak 12 jenis makanan dan minuman yang dilarang untuk dijual di sekolah.
Menerusi perkongsian KPM di Instagram, senarai larangan tersebut dibuat sebagai salah satu usaha kementerian untuk memastikan amalan pemakanan sihat dan tumbesaran terbaik kepada semua murid.
“Mengikut Peraturan Makanan 1985, makanan melepasi had tarikh luput dan makanan berbentuk permainan adalah dilarang untuk mengelak kebimbangan makanan yang membahayakan kesihatan murid.
“Selain itu, makanan diproses seperti kentang goreng, sosej, nugget dan lok cheng termasuk, bebola ikan, ayam atau daging sebagai snek untuk menggalakkan murid memilih makanan penuh khasiat protein,” ujarnya.
Menurutnya, makanan ringan seperti gula-gula dan coklat serta makanan berkrim atau bersalut gula dan jeruk turut tersenarai sebagai makanan larangan.
“Produk segera dalam peket bersama perencah makanan seperti mi, bihun, ramen, kuetiau, bubur nasi dan sup segera juga dilarang bagi mengelak tumbesaran murid-murid terganggu akibat makanan kurang berkhasiat,” katanya.
Produk konfeksi ais dan aiskrim hendaklah mematuhi keperluan dan standard makanan yang ditetapkan oleh KKM dan KPM.
Manakala, minuman seperti teh dan kopi hanya untuk guru manakala minuman campuran manis kordial termasuk krimer, serbuk 3 in 1 dan minuman tenaga seperti isotonik, herba dan minuman berkarbonat buat pelajar adalah dilarang akibat kandungan gula yang banyak.
Tegasnya, makanan dan minuman beralkohol adalah dilarang untuk mengamalkan gaya hidup sihat dalam kalangan murid sejak di bangku sekolah. – KOSMO! ONLINE.