JAKARTA – Pasukan bomba dan penyelamat terkejut apabila menerima panggilan kecemasan untuk mengeluarkan seorang kanak-kanak lelaki yang terperangkap dalam ruang pengering pakaian sebuah mesin basuh separa automatik, lapor portal berita Lambe Turah.
Kejadian berlaku sekitar pukul 5.53 petang (waktu tempatan) di Depok, wilayah Jawa Barat pada Sabtu lalu.
Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @officiallambeturah menunjukkan budak itu tersepit di dalam lubang yang kecil dengan kedua kakinya menjulur keluar.
Pemangku Ketua Kawalan Operasi Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Depok, Tesy Haryati berkata, mangsa dikenali sebagai MNH dan berumur tujuh tahun.
“Seluruh badan MNH tersepit di dalam mesin pengering, dia terpaksa memanggil bomba untuk dikeluarkan.
“Kejadian berlaku ketika MNH sedang bermain dengan kakaknya. Mangsa terlalu aktif sehingga dia memanjat mesin tersebut,” kata Tesy.
Mangsa hanya cedera ringan dalam kejadian itu. – AGENSI