JOHOR BAHRU – Seorang penolong pegawai penilaian di Majlis Daerah Labis, Segamat mengaku tidak bersalah terhadap 24 pertuduhan membuat tuntutan pembayaran elaun kerja lebih masa palsu berjumlah RM17,548.80 sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), tiga tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Fakhrurazie Abd. Razak, 32, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Fakhrurazie didakwa telah membuat tuntutan elaun kerja lebih masa palsu melibatkan penama seramai lapan individu berbeza antara Oktober hingga Disember 2022 dengan keseluruhan wang berjumlah RM17,548.80 tanpa pengetahuan individu terbabit.
Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di lokasi sama iaitu di Pejabat Majlis Daerah Labis, Segamat.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dibenarkan jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan, beserta dua syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa perlu diserahkan kepada mahkamah serta tertuduh perlu melapor diri di Pejabat SPRM Segamat sebulan sekali.
Ahmad Kamal Arifin kemudian turut menetapkan tarikh 30 Oktober depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen berkaitan.-KOSMO! ONLINE