fbpx
Pistol tiruan yang dirampas.

Menyamar polis, samun guna pistol tiruan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Tindakan tiga lelaki menyamar sebagai polis sebelum menyamun seorang mangsa dengan mengacukan pistol tiruan membawa padah apabila mereka berjaya diberkas polis dalam kejadian di Jalan Kampung Pasir, Pantai Dalam, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, mangsa, seorang lelaki tempatan, didatangi suspek yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis sebelum mengacukan sepucuk pistol dan merampas telefon bimbit, dompet serta kad pengenalannya.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, suspek cuba melarikan diri dengan menaiki motosikal, namun berjaya ditahan sepasukan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Pantai yang kebetulan sedang melakukan rondaan di kawasan berkenaan.

“Hasil tangkapan, polis merampas beberapa barangan termasuk sepucuk pemetik api berbentuk pistol (pistol tiruan), dua motosikal jenis Yamaha LC V8 dan Honda RS150 serta barangan peribadi milik mangsa,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurutnya, modus operandi kumpulan itu adalah menyasarkan penunggang motosikal atau individu bersendirian dengan menyamar sebagai polis sebelum mengugut mangsa menggunakan pistol tiruan dan melakukan pemerasan.

“Siasatan mendapati dua daripada suspek memiliki rekod jenayah lampau termasuk masih dikehendaki bersabit kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.

Tambahnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Chang Hook berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang cuba memperdaya masyarakat dengan menyamar sebagai anggota polis untuk melakukan jenayah.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat jenayah boleh menyalurkan terus ke Hotline Polis Daerah Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kontinjen Kuala Lumpur di 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN