fbpx
AKSI Kristian Tung pada kejohanan Olahraga BMC MarketAxess, Tooting Bec dekat London sebelum ini.

Kristian Tung harapan negara rangkul emas jarak jauh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KELIBAT Kristian Tung terus mencuri perhatian selepas kejayaan meleburkan rekod kebangsaan 3,000 meter (m) bulan lalu mula membuka lembaran baharu buat acara jarak jauh Malaysia.

Biarpun rekod telah tercatat dalam sejarah, impaknya masih terasa kerana ia mengubah persepsi Malaysia yang ketandusan pelari berkualiti sejak lebih dua dekad.

Pencapaian Kristian lebih istimewa apabila mendapat pengiktirafan legenda negara, M. Ramachandran, pemegang rekod 5,000m dan 10,000m yang bertahan lebih 30 tahun.

“Saya memang bangga dengan pencapaian Kristian kerana selepas 30 tahun baru negara lahirkan atlet jarak jauh yang benar-benar bertaraf Asia,” katanya.

Keyakinan Ramachandran bukan kosong, berdasarkan catatan 8:15.70s di London, beliau percaya Kristian mampu berlari 5,000m di bawah 14 minit dan sekali gus meleburkan rekod kebangsaannya 14:06.82s.

Kristian kini berada di landasan tepat untuk menamatkan kemarau emas Malaysia dalam acara jarak jauh di Sukan SEA.

“Rekod memang bagus tetapi saya mahu lihat Kristian menang emas. Kali terakhir kita menang 5,000m dan 10,000m ialah pada 1999 di Brunei,” ujarnya.

Kristian sebelum ini meraih tiga emas Sukma 2024 dan catatan semasa 5,000m miliknya (14:15.85s) semakin hampir dengan rekod kebangsaan.

Lebih penting, dia dijadual turun dalam acara 10,000m bulan ini dengan sasaran menembusi tembok 30 minit, sesuatu yang belum pernah dicapai atlet Malaysia sejak zaman Ramachandran.

Momentum ini memberi bayangan Kristian bukan sekadar fenomena seketika selepas konsistensinya dilihat sebagai faktor utama yang boleh menghidupkan semula era kegemilangan olahraga jarak jauh negara.

“Kalau tengok momentum dia sekarang, memang naik sahaja tanpa turun. Itu membezakan dia dengan pelari lain sebelum ini.

“Berdasarkan form dia sekarang, semua rekod boleh pecah. Tak payah tunggu lama-lama,” kata Ramachandran.

Bagaimanapun, cabaran sebenar Kristian ialah mengekalkan prestasi sehingga hujung tahun kerana Sukan SEA Thailand 2025 bakal menjadi pentas pengesahan statusnya sebagai raja jarak jauh Asia Tenggara.

Ramachandran percaya dengan fasiliti moden dan sokongan lebih baik, Kristian memiliki peluang lebih cerah berbanding generasi terdahulu.

“Dahulu zaman saya trek lain, fasiliti pun terhad. Sekarang semuanya lebih maju,” katanya.

Dalam masa sama, Ramachandran memberi peringatan bahawa Malaysia tidak boleh bergantung kepada Kristian seorang sahaja.

“Kita tak boleh bangga dengan hanya seorang sahaja. Pelapis berkualiti itu penting. Kalau seorang jatuh, yang lain boleh bantu,” tegasnya.

Pandangan itu wajar diberi perhatian kerana ekosistem pembangunan atlet jarak jauh masih rapuh, dengan Kristian menjadi satu-satunya nama besar ketika ini.

Selepas empat dekad menanti, akhirnya Malaysia kembali memiliki pelari jarak jauh yang mampu mencabar di pentas Asia dan kini persoalannya, mampukah Kristian menterjemahkan catatan masa kepada pingat emas Sukan SEA buat negara?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN