BALING – “Semalam arwah merajuk selepas menegur tindakan anak sulungnya yang menghilangkan kasut baharu, biasanya dia tidak begitu”
Demikian kata Syakila Rahim, 27, anak saudara kepada Allahyarham Nur Najihah Mohd Zukri, 30, yang maut dalam kemalangan di Jalan Parit Panjang-Kuala Ketil di Kampung Tembak B, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, Nur Najihah maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala anak lelakinya, Mohammad Fathi Rashidi Zulkifli, 5, cedera ringan.
Kejadian berlaku ketika ibu saudaranya itu dalam perjalanan untuk menghantar anak lelakinya ke Tadika Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti).
Menurut Syakila, ketika keluarga berkumpul di rumah datuk pada malam semalam, arwah ada menegur anak sulungnya, Anas Shauqi Zulkifli, 8, kerana menghilangkan kasut yang baru dibeli.
Katanya, arwah mencari kasut itu sejak petang tetapi gagal ditemui sebelum dengan nada merajuk dia berkata tidak mahu menyeterika baju sekolah anaknya itu selama seminggu.
“Sikap arwah nampak pelik sebab merajuk, biasanya dia marah anaknya sekejap sahaja,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Baling, hari ini.
Sementara itu, ibu mangsa, Siti Jamaliah Baharom, 59, pula berkata, mereka baru sahaja berkumpul pada malam Jumaat lalu di rumahnya di Kulim kerana mengadakan kenduri tahlil dan bacaan Yasin serta doa selamat sempena kejayaan anak bongsu melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
“Nasib baik anak bongsunya, Mohammad Haziq Hakimi Zulkifli, 3, tidak ikut sama, jika tidak tak tahulah apa nasibnya kerana anaknya itu akan duduk di dalam raga depan motosikal,” katanya.
Jenazah Nur Najihah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tembak, Kuala Ketil selepas selesai proses bedah siasat. – KOSMO! ONLINE