PEKAN – Kegembiraan lima sekeluarga mencari etak di Sungai Pahang dekat Kampung Bukit Kenau, di sini, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas, pagi ini.
Mangsa, Mohd. Zainuren Abd. Rashid, 45, dari Kampung Seri Menanti, Parit Jawa, Johor hilang pada petang Jumaat lalu selepas dihanyutkan arus sebelum mayatnya ditemukan kira-kira pukul 7.45 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd. Zaidi Mat Zin, berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa yang bekerja sebagai buruh dilihat berada agak jauh dari ahli keluarga lain sebelum tiba-tiba tenggelam dan tidak timbul semula.
“Susulan laporan polis yang dibuat ahli keluarga mangsa pada petang Jumaat, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan sejak semalam membabitkan 74 anggota polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, bomba sukarela serta penduduk,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Katanya, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM turut melakukan beberapa selaman di sekitar lokasi terakhir mangsa dilihat berhampiran pam penyedut pasir, namun gagal menemui mangsa.
“Hanya pada pagi ini mayat mangsa ditemukan penduduk kira-kira tiga kilometer dari lokasi dia hilang. Mayat kemudian dibawa naik ke tebing sebelum dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pekan untuk bedah siasat,” katanya. – KOSMO! ONLINE