TELUK INTAN – Perebutan harta dipercayai menjadi punca seorang wanita dibunuh sebelum mayatnya dijumpai dalam kenderaan lelaki yang menikam dan menembak anggota polis di Simpang Pulai, dekat sini pada 7 September lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, siasatan mendapati kesemua sembilan suspek yang direman sebelum ini mempunyai hubungan kekeluargaan.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada suspek yang masih bebas itu merupakan dalang utama dalam kejadian pembunuhan tersebut.
“Suspek telah dikenal pasti dan usaha sedang dijalankan bagi mengesannya. Kita juga sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung penglibatan suspek dalam kejadian itu.
“Setakat ini, pistol yang digunakan dalam kejadian menembak anggota polis belum dijumpai,” katanya ketika ditemui pada Program Terpaling Pahlawan Menara Condong Unity Challenge 2025 di Padang Speedy, di sini hari ini.
Mengulas mengenai kemungkinan suspek lari ke luar negara, Noor Hisam berkata, semakan dengan Jabatan Imigresen mendapati tiada rekod, namun tidak menolak kemungkinan lelaki itu menggunakan lorong tikus.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan anggota polis yang cedera ditembak suspek masih dirawat di hospital, namun keadaannya stabil.
Dalam kejadian pada pukul 1.15 pagi itu, seorang anggota polis cedera selepas ditikam dan ditembak pemandu kenderaan ketika menjalankan tugasan Rondaan Cegah Jenayah di Simpang Pulai.
Pemeriksaan di dalam kenderaan dipandu lelaki itu menemukan mayat wanita di tempat duduk belakang. Suspek pula melarikan diri bersama pistol milik polis. – KOSMO! ONLINE