SHAH ALAM – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) disarankan mempercepatkan aplikasi digital kepada mana-mana koperasi bagi mempromosikan produk mereka dengan kos lebih rendah dan capaian lebih luas.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan berkata, penggunaan kaedah pendigitalan mampu menjadi alternatif kepada koperasi berbanding kaedah konvensional yang menelan belanja tinggi.
“Contohnya, kita lihat tadi ada produk berkaitan produk kosmetik atau perkhidmatan spa. Mereka tidak mampu pasang papan iklan kerana kos mahal. Begitu juga dengan iklan akhbar, kosnya tinggi dan terhad.
“Sebab itu, kita bekerjasama dengan agensi tertentu termasuk dibawah kementerian ini dengan menyediakan peluang digitalisasi untuk mereka promosikan produk secara dalam talian,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis taklimat Pembudayaan Koperasi dan Usahawan Selangor, hari ini.
Menurutnya, terdapat program atau inisiatif khusus disediakan termasuk penyediaan studio ‘TikTok Live’ secara percuma sehingga hujung bulan ini bagi melatih koperasi dan usahawan untuk melariskan jualan.
Sementara itu, Ramanan ketika berucap pada taklimat itu memaklumkan sebanyak 2,189 koperasi berdaftar di Selangor dengan keanggotaan melebihi 654,000 sehingga 30 Disember 2024.
“Bagi tempoh sama juga, aset koperasi tersebut berjumlah RM2.816 bilion dan perolehan sebanyak RM769. 225 juta.
“Daripada jumlah itu, 121 koperasi masyarakat India telah berdaftar dengan 52,882 ahli dan memiliki aset bernilai RM209.9 juta serta mencatatkan perolehan hampir RM11.8 juta,” katanya.
Pada majlis itu, sejumlah RM2.4 juta bantuan disampaikan bagi memperkasakan koperasi komuniti India. – KOSMO! ONLINE