TELUK INTAN – Sebanyak 11,500 liter cecair disyaki minyak diesel yang diseleweng disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi serbuan Ops Tiris di sebuah tapak pembinaan di Jalan Changkat Jong di sini pada pukul 2.40 petang semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan dilaksanakan hasil maklumat risikan dan pemantauan selama seminggu oleh penguat kuasa KPDN Perak ke atas aktiviti membanteras penyelewengan dan ketirisan barang kawalan di kawasan Teluk Intan.
“Pemeriksaan lanjut ke atas tapak pembinaan tersebut, pasukan serbuan telah menjumpai sebanyak 11,500 liter cecair disyaki minyak diesel di dalam sebuah tangki skid.
“Seorang lelaki tempatan berumur 29 tahun yang mengaku sebagai penyelia lokasi pembinaan didapati gagal untuk mengemukakan sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan daripada Pengawal apabila diminta oleh pasukan pemeriksaan,” katanya di sini hari ini.
Kamalludin berkata, sehubungan itu, satu tindakan kes telah diambil dengan menyita cecair disyaki minyak diesel sebanyak 11,500 liter, sebuah lori dan sebuah tangki skid dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM140,200.
Beliau berkata, selain itu, KPDN juga akan membuat siasatan lanjut kepada sebuah syarikat pembekal yang disyaki beroperasi di Lembah Klang kerana gagal memastikan pihak pembeli terlebih dahulu mempunyai kebenaran, lesen atau permit barang kawalan sebelum menjalankan transaksi perdagangan minyak diesel tersebut.
“Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual minyak diesel tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan,” katanya. – KOSMO! ONLINE