LIVERPOOL – Everton dijangka membuat kejutan taktikal dalam aksi menentang Liverpool di Anfield malam ini apabila pengendalinya, David Moyes berkemungkinan mempertaruhkan Iliman Ndiaye sebagai penyerang utama.
The Toffees bermula baik musim ini dengan tujuh mata hasil daripada empat perlawanan liga, termasuk seri tanpa jaringan menentang Aston Villa minggu lalu yang sepatutnya boleh berakhir dengan kemenangan berdasarkan dominasi mereka.
Bagaimanapun, menentang Liverpool yang kini gah dengan lima kemenangan berturut-turut termasuk kejayaan dramatik 3-2 menewaskan Atletico Madrid dalam Liga Juara-Juara Eropah, ia pasti menjadi ujian paling besar buat Moyes setakat ini.
Ndiaye yang dibawa masuk daripada Marseille musim panas lalu tampil cemerlang di posisi sayap kanan, namun rekodnya sebagai penyerang tidak boleh dipandang ringan.
Sepanjang karier, bintang Senegal itu pernah beraksi 49 kali di posisi penyerang utama dan menyumbang 32 gol serta bantuan jaringan.
“Dia mampu memberi impak sama ada di sayap atau di depan. Kami mungkin perlu lebih berani mengambil risiko menentangnya di Anfield,” kata Moyes.
Jika Ndiaye diturunkan di posisi serangan, ia membuka ruang buat pemain muda, Tyler Dibling membuat penampilan sulung di bahagian sayap dan James Garner dijangka sekali lagi beraksi sebagai bek kiri.
Everton turut berdepan dilema di bahagian tengah sama ada mengekalkan Tim Iroegbunam atau memberi peluang kepada Merlin Rohl selepas aksi mengagumkan ketika menentang Villa.
Langkah meletakkan Ndiaye di posisi penyerang diyakini mampu memberi dimensi baharu kepada serangan Everton yang ketika ini masih bergelut mencari penyudah klinikal daripada Beto mahupun Thierno Barry. – AGENSI