PARIT – Penilaian risiko sektor perniagaan yang tepat selain bantuan secara komprehensif daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) telah membantu seorang usahawan yang terbabit dalam bidang percetakan baju-T dan penghasilan pelbagai produk barangan cenderahati korporat sehingga melonjakkan pendapatannya mencecah lima angka sebulan.
Menurut ayah kepada tiga zuriat, Azinuddin Ramly, 34, tindakan nekadnya berhenti kerja sebagai seorang pembantu teknologi informasi (IT) di Pusat Internet Desa (kini dikenali Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) untuk menceburi bidang perniagaan yang mendapat permintaan secara konsisten ternyata berbaloi.
“Dahulu gaji saya hanya RM1,500 sebulan namun sejak menubuhkan Alamien Studios, pendapatan kasar pernah mencecah sehingga RM70,000 sebulan.
“Saya juga mampu menggaji tiga pekerja dengan bayaran gaji minimum,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di kedainya di Bandar Universiti, Seri Iskandar di sini semalam.
Anak jati Kampung Tua, Belanja Kiri di sini menerangkan, sejak tahun 2019, MAIPk banyak membantunya dengan memperoleh bantuan geran berbentuk peralatan serta mesin selain kursus-kursus keusahawanan secara berkala.
“Saya pernah mengikuti Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf (Proper A) dengan menerima bantuan RM5,000 untuk membeli peralatan dan mesin percetakan.
“Saya juga terlibat dalam program Usahawan Rakyat Prenuer dan Program Keusahawanan Asnaf (ISHRAF) anjuran dan kerjasama MAIPk dengan menerima geran tambahan bernilai RM15,000 bagi memperkembangkan lagi teras perniagaan supaya terus berdaya saing,” katanya.
Tambah beliau, MAIPk secara konsisten memantau perniagaannya selain membantu merangka strategi perniagaan yang unik supaya konsisten dan bertahan.
“Bagi pekerja, saya turut terapkan kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) supaya mereka dapat meneroka potensi pekerjaan berpendapatan tinggi pada masa depan.
“Selain itu, saya mempunyai 20 ejen pemasaran di seluruh negeri ini untuk membantu meluaskan pemasaran dan membantu menambah pendapatan untuk diri dan keluarga,” katanya.
Perkembangan ini selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah niche daerah Perak Tengah sebagai Koridor TVET Malaysia.
Bantuan itu juga selaras dengan flagship kelima Perak Sejahtera 2030 iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat iaitu 1 Keluarga 1 Usahawan cetusan berwawasan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi memacu negeri ke arah kemajuan rakyat.