LONDON – Pakar-pakar dari University of Plymouth di England mengeluarkan amaran mengenai pengambilan sayuran selepas mereka menemui beribu-ribu plastik halus (mikroplastik) tersembunyi di bahagian sayur yang boleh dimakan, lapor laman berita MailOnline semalam.
Menggunakan lobak, mereka mendapati mikroplastik dengan sesetengahnya berukuran sekecil satu persejuta sentimeter boleh memasuki akar tumbuhan.
Zarah berbahaya itu merebak dan terkumpul di dalam bahagian tumbuhan yang boleh dimakan.
Walaupun pasukan penyelidik menumpukan pada lobak, mereka berkata, penemuan sama kemungkinan besar berlaku pada sayuran lain.
“Tiada sebab untuk mempercayai pencemaran mikroplastik hanya unik kepada sayur ini,”
“Terdapat kemungkinan jelas bahawa mikroplastik diserap ke dalam pelbagai jenis hasil tanaman di seluruh dunia,” kata Dr Nathaniel Clark selaku penulis utama kajian itu.
Dari jurang paling dalam dunia, Mariana Trench hinggalah ke puncak Everest, mikroplastik boleh ditemui hampir di mana-mana sahaja di Bumi.
Bagaimanapun, penyebarannya dalam sayuran masih menjadi misteri.
Berdasarkan penyelidikan mereka, sekitar 25 peratus zarah mikroplastik terkumpul di dalam akar dan 10 peratus lagi sampai ke bahagian pucuk.
Saintis-saintis bimbang mikroplastik berisiko menyebabkan penyakit kardiovaskular dan kanser usus pada manusia. – AGENSI