GUA MUSANG – Penduduk Felda Chiku 1 dan Felda Chiku 2 di sini, mendakwa banjir kilat yang menenggelamkan penempatan mereka berpunca daripada sistem saliran di kawasan projek pembinaan Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang tidak diselenggara dengan baik.
Dakwa penduduk, masalah itu menyebabkan mereka berdepan banjir kilat sebanyak dua kali pada tahun ini setiap kali hujan lebat.
Seorang penduduk, Ramlah Adam, 71, berkata, kawasan saliran air yang tersumbat atau tersekat dipercayai tidak dapat menampung limpahan air yang banyak.
Katanya, banjir kilat itu merupakan kejadian paling buruk sepanjang 44 tahun dia tinggal di tanah rancangan berkenaan apabila ramai penduduk tidak sempat menyelamatkan barangan.
“Kami mahu pihak berwajib menyiasat punca banjir kilat tiba-tiba melanda di kawasan kampung.
“Saya mengalami banyak kerugian apabila tidak sempat mengangkat barang berharga. Air banjir berlumpur deras memasuki rumah menyebabkan tiga buah peti sejuk milik keluarga saya tenggelam,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Seripah Roziah Mat Daud, 62, berkata, langkah pembinaan benteng tebatan banjir selain mendalamkan sungai boleh mengatasi masalah banjir di kawasan itu.
Katanya, banjir kilat berlaku kira-kira awal tahun selepas hujan lebat berterusan.
“Saya mewakili penduduk memohon jasa baik pihak LTU bertindak segera mengatasi masalah ini untuk memberi keselesaan kepada penduduk yang tinggal berhampiran kawasan pembinaan.
“Kami bimbang sekiranya hujan lebat, kejadian ini akan berulang dan menyebabkan lebih ramai penduduk mengalami kerugian,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Kami Anak Felda (KAF) Wilayah Gua Musang, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu memberi laporan terperinci berhubung punca banjir kilat yang dipercayai disebabkan projek pembinaan LTU di kawasan berhampiran.
Katanya, banjir kilat itu menjejaskan lebih 100 rumah dan dianggap terburuk dalam tempoh lebih 40 tahun.
“KAF masih menunggu laporan penuh daripada pihak JPS dan JKR berhubung projek LTU. Kami berharap langkah segera dapat diambil agar musibah itu tidak lagi berulang.
“Sebelum ini memang pernah berlaku banjir kilat, namun tidak seburuk kelmarin apabila air sangat laju memasuki kediaman penduduk,” katanya.















