TIADA apa yang dapat dititipkan oleh Norriza Muhamad Yusof melainkan kata syukur setelah dinobatkan sebagai Ikon Wanita Wilayah Persekutuan 2024-2026.
Baginya yang lebih dikenali sebagai Ieza berkata, di sebalik penghargaan diangkat sebagai ikon wanita, ada tanggungjawab baharu yang perlu digalasnya untuk menyantuni masyarakat dengan pelbagai program sosial.
“Tanggungjawab ini sangat besar dan sangat menakutkan jika saya tidak dapat melaksanakannya dengan baik.
“Saya tidak boleh sekadar menyarung selempang ikon wanita tanpa ada sebarang aktiviti, malah penganugerahan ini juga menjadi pendorong untuk saya terus istiqamah melakukan program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya kepada K-Wanita.
Ieza, 45, menerima pengiktirafan tersebut sempena Anugerah Wanita Ikon Malaysia 2024 anjuran Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tahun lalu.
Anugerah yang diadakan selang dua tahun sekali itu bertujuan untuk mengiktiraf dan memartabat pencapaian wanita Malaysia yang luar biasa dalam pelbagai bidang serta menjadi inspirasi kepada wanita lain.
Ieza yang merupakan seorang mentor pengurusan kewangan yang dikenali ramai dengan gelaran Mak Jerung turut banyak melakukan aktiviti-aktiviti amal.
Ieza menjelaskan, sebenarnya dia tidak menyangka dirinya tersenarai bersama 400 peserta lain dari seluruh Malaysia untuk anugerah tersebut.
Peserta akan dinilai untuk mewakili 14 negeri dan dia terpilih sebagai Ikon Wanita Wilayah Persekutuan dan menjadi finalis untuk Anugerah Wanita Ikon Malaysia untuk tahun yang sama.
“Sebenarnya, saya tidak memohon untuk menyertai anugerah ini dan orang lain yang mencalonkan diri saya.
“Saya kemudian mendapat panggilan daripada penganjur dan mereka meminta resume saya untuk disenarai pendek dan dipanggil untuk ditemu duga.
“Saya telah dipilih sebagai pemenang bagi Wilayah Persekutuan,” jelasnya yang merupakan wanita berasal dari Johor dan mempunyai perniagaan berpangkalan di Kuala Lumpur.

IEZA seorang usahawan selaku pengasas serta Ketua Pegawai Eksekutif kepada dua syarikat iaitu Ieza Yusof Consultancy Sdn. Bhd. dan AL Aqyas Group Sdn. Bhd.
Dia menguruskan syarikat latihan dan konsultansi yang telah melahirkan ramai ‘protege’ dalam bidang pengurusan kewangan dan risiko.
Dalam masa sama, Ieza juga menghasilkan produk-produk literasi kewangan seperti buku fizikal, buku digital dan aplikasi kewangan digital.
Malah, tiga buku fizikal tulisannya iaitu Jerat Kewangan dan Hartanah, Formula Urus Gaji dan Kalkulator Dari Langit telah terjual lebih 10,000 naskhah.
Terbaharu dia turut menerbitkan sebuah buku berjudul Aku Anak Felda yang menggambarkan asal usul wanita penuh inspirasi ini.
Selain itu, dia juga membangunkan produk aplikasi digital kewangan My Financial Blueprint.
Misinya adalah untuk membantu setiap keluarga dalam kalangan rakyat Malaysia mempunyai aplikasi urus kewangan secara digital sehingga mereka boleh mencapai level urus kewangan secara Do It Yourself (DIY).
Dalam masa yang sama, Ieza juga turut bekerjasama dengan pihak Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Waqaf An Nur Corporation yang memberi peluang kepadanya untuk terus mendidik ilmu pengurusan cukai untuk misi meningkatkan jumlah zakat individu dan perniagaan sehingga dapat membuat perancangan wakalah.
Perancangan cukai, zakat dan wakalah memberi peluang individu terutamanya yang menjalankan perniagaan dapat menyumbang lebih banyak dana untuk projek-projek amal.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, setelah mendapat anugerah tersebut dia juga tergerak untuk melaksanakan kempen keusahawanan sosial dengan konsep entrepreneur, zakatpreneur dan socialpreneur.
“Saya percaya seorang usahawan sejati bukan sekadar mengejar keuntungan, tetapi juga membina impak kepada masyarakat.
“Penting untuk usahawan tidak lari daripada cukai, sebaliknya menggunakan ilmu pengurusan kewangan untuk merancang zakat dan cukai secara sistematik.
“Sebenarnya, melalui perancangan zakat dan cukai, usahawan boleh mendapat manfaat semula dalam bentuk dana wakalah daripada pusat zakat,” ujarnya.
Tambahnya, dana wakalah ini boleh dimanfaatkan untuk projek CSR sendiri, disalurkan terus kepada lapan golongan penerima zakat.

Menjelaskan mengenai gelaran Mak Jerung (MJ), ia adalah kerana dia suka ‘menjerung’ atau menampilkan watak garang dalam penyampaian pengurusan kewangan.
Dalam pada itu, kejayaan yang diraih oleh Ieza pada ketika ini bukanlah sesuatu yang datang dengan mudah. Menceritakan tentang dirinya, Ieza berkata, dia merupakan anak asnaf yang membesar di Felda Air Tawar 4 di Kota Tinggi, Johor.
Dia hidup di Felda pada zaman awal 80-an tanpa bekalan air dan elektrik. Menjual nasi lemak dan aiskrim Malaysia, mengutip cendawan di kebun kelapa sawit untuk dijual rumah ke rumah selain mengikut bapanya ke kebun untuk memetik kelapa sawit, itulah dunia kehidupan kecilnya
Sejak kecil, dia sudah terbiasa melihat ibu bapanya berjimat cermat demi kelangsungan hidup dan keluarganya pernah meminjam beras untuk makan.
Kekurangan itu bukan halangan, sebaliknya menjadi pemangkin semangat untuk berjaya.
“Saya mendapat peluang untuk melanjutkan pengajian peringkat diploma dalam bidang perakaunan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur.
“Selepas tamat pengajian saya tidak boleh untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda kerana faktor kewangan.
“Saya memilih untuk bekerja dengan gaji RM1,200 pada ketika itu dan saya rasakan gaji yang diterima tidak cukup untuk hidup di Kuala Lumpur,” ujarnya.
Dia kemudian turut melakukan kerja tambahan dengan menjual tudung, telefon dan lain-lain untuk mencari pendapatan tambahan bagi menampung kos sara hidup dan membalas jasa ibu dan bapanya.
Pada 2001 bermodalkan RM40 dia mengambil lesen sebagai ejen insurans untuk menambah sumber pendapatan.
Selain itu, dia juga mengikuti modul Registered Financial Planner (RFP) dan Shariah Registered Financial Planner (SRFP) bagi melengkapkan dirinya dengan ilmu perancangan kewangan dan membangunkan perniagaannya.
Dengan ilmu dan pengalaman lebih 24 tahun dalam bidang perancangan kewangan menjadikan beliau tekad ingin membantu individu dan usahawan mengurus kewangan dengan baik untuk melahirkan masyarakat bebas kewangan supaya kalis gawat.
Ieza sememangnya mementingkan pendidikan dan dia tidak akan berhenti untuk mencari ilmu dan kini sedang melanjutkan pengajian peringkat sarjana di Universiti Utara Malaysia (UUM) cawangan Kuala Lumpur dalam bidang perbankan dan kewangan Islam.
Selain berjaya dalam bidang keusahawanan dia juga konsisten menganjurkan program-program amal melalui program Misi Jannah melalui dana wakalah.
Selain itu dia juga membangunkan sebuah Madrasah MABUS Al Akyas di Rawang, Selangor yang menempatkan pelajar huffaz al-Quran seramai 35 orang bersama sahabat baiknya iaitu Zarina Mohamad Shariff.
“Apabila pulang daripada mengerjakan haji dari Tanah Suci pada 2016, saya merasakan hidup saya sudah cukup lengkap dan terdetik di sudut hati ‘apa seterusnya’ untuk dilakukan.
“Pada detik ini, sahabat saya baru pulang dari umrah dan dengan penuh keinsafan dia menyatakan tekad mahu berwakaf diri untuk Allah dengan membantu anak-anak kurang bernasib baik.
“Kami kemudian menyewa sebuah rumah flat untuk membolehkan anak-anak ini belajar,” jelasnya.
Saban tahun jumlah pelajar bertambah dan mereka memerlukan ruang yang lebih besar.
Usaha murni itu ternyata dilorongkan dan Allah mempermudah urusan Ieza dan sahabatnya untuk membeli sebuah rumah yang lebih besar untuk dijadikan Madrasah.














