PARIS – Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique memberi amaran kepada anak-anak buahnya supaya tidak terlalu selesa meskipun menang 4-0 ke atas Atalanta pada aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi semalam.
Pada perlawanan yang berlangsung di Parc des Princes itu, PSG memastikan mereka meraih tiga mata berharga hasil empat gol menerusi Marquinhos, Khvicha Kvaratskhelia, Nuno Mendes dan Goncalo Ramos.
Enrique berkata, anak-anak buahnya menampilkan aksi seperti yang dirancang dan berjaya mendapatkan kemenangan biarpun berdepan asakan demi asakan daripada pasukan Serie A Itali itu.
“Satu permulaan yang sangat baik dan ia mencerminkan corak permainan sebenar PSG. Berdepan sebuah pasukan yang menerapkan aksi fizikal selain memiliki kelebihan teknikal, kami sebenarnya berdepan masalah.
“Bagaimanapun, kesungguhan serta kerja keras dipamerkan pemain-pemain memastikan pasukan dapat mengekang setiap serangan yang dilancarkan. Saya gembira kami dapat memastikan tiga mata,” katanya.
Kemenangan itu pastinya memberi kelegaan kepada juara bertahan berkenaan memandangkan mereka bermula dengan agak longlai pada saingan musim lalu sebelum kembali menemui sentuhan sebenar.
“Memang saya harap dapat melangkah jauh memandangkan jadual perlawanan kami cukup sukar. Saya fikir prestasi kali ini lebih baik jika dibandingkan dengan saingan musim lalu di mana kami agak bergelut,” ujar Enrique. – AGENSI