KUALA NERUS – Hujan lebat dan ombak kuat yang sering melanda terutama pada sebelah petang sejak dua minggu lalu kembali membuatkan pemilik ‘mahligai cinta’ di Kampung Tanjung, Batu Rakit, di sini tidak tidur lena.
Pesara kerajaan itu, Mohd. Yazit Idris, 66, mulai bimbang apabila banglo RM600,000 yang dibina demi kecintaan terhadap arwah isteri tersebut kembali diancam hakisan.
“Tambak pasir yang mengelilingi kediaman saya sebelum ini mula terhakis sedikit demi sedikit ekoran kemunculan alur baharu merintanginya menuju ke arah pesisir pantai.
“Alur seperti longkang itu terbentuk berikutan aliran hujan lebat dari jalan utama berhampiran,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Tanjung, Batu Rakit, di sini semalam.
Mohd. Yazit berkata, tambah menakutkannya, kadangkala banglo berwarna biru didiaminya bersendirian berkenaan bergegar terutama sekali apabila ribut kuat.
Katanya, buat masa ini, dia mengambil inisiatif menambak semula bahagian belakang dan tepi banglo dengan batu-batuan setinggi kira-kira dua meter.
“Harapan saya, kerja-kerja menambak batuan tersebut yang setakat ini menelan belanja RM5,000 dapat mengurangkan impak hakisan pantai.
“Setiap hari saya berdoa agar kediaman saya terus selamat apabila Monsun Timur Laut (MTL) dijangka tiba hujung bulan depan,” katanya.
Mohd. Yazit berkata, dia terus berikhtiar melakukan apa sahaja serta sebaik mungkin bagi mempertahankan mahligai cinta yang dibinanya.
Dalam perkembangan sama, dia berharap projek pembinaan penahan ombak yang sedang rancak di sepanjang Pantai Kampung Tanjung turut dapat melindungi kediamannya pada musim tengkujuh ini.
Kosmo! pada 11 Januari lalu melaporkan, Mohd. Yazit dengan bantuan anak perempuan dan menantunya membanting tulang membina benteng guni pasir bagi menyelamatkan banglo mereka yang sedang diancam hakisan pantai kronik.
Banglo dibina dengan wang persaraan RM600,000 pada 2018 itu amat bererti buat pesara itu kerana ia dibina sebagai tanda cinta terhadap arwah isterinya, Siti Rashidah Mohd. Yunus yang meninggal dunia akibat kanser usus enam tahun lalu.
Pada 23 April lalu, Kosmo! melaporkan, pemilik banglo tersebut mula mampu tidur lena serta boleh menarik nafas lega apabila musim tengkujuh berakhir pada Mac lalu.
Sehubungan itu, pesisir Pantai Batu Rakit yang terletak di belakang rumah Mohd. Yazit di Kampung Tanjung, di sini sudah stabil berikutan perubahan monsun, sekali gus menamatkan ancaman hakisan kronik.
“Alhamdullilah, hati saya kembali tenang kerana ombak ganas sudah reda,” katanya ketika itu. – KOSMO! ONLINE













