PETALING JAYA – Dua wakil beregu negara membuka kempen China Masters 2025 dengan langkah kanan apabila Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani serta Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie melangkah ke pusingan kedua di Shenzhen Arena, sebentar tadi.
Sze Fei-Izzuddin yang hadir selaku beregu nombor tiga dunia dipaksa berhempas pulas sebelum menundukkan pasangan Indonesia, Muhammad Rian Ardianto-Yeremy Rambitan dalam aksi tiga set penuh debaran.
Selepas tewas 12-21 pada set pertama, beregu negara bangkit garang untuk menguasai set kedua dengan kemenangan 21-11 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.
Aksi set ketiga berlangsung mendebarkan apabila kedua-dua beregu saling berkejaran mata sehingga terikat 20-20 selepas Sze Fei-Izzuddin mensia-siakan enam mata perlawanan.
Namun, mereka kekal tenang untuk menoktahkan kemenangan 22-20 selepas bertarung selama 43 minit.
Kemenangan itu hadir selepas tersingkir awal di Terbuka Hong Kong minggu lalu, sekali gus mengembalikan keyakinan menjelang pusingan kedua menentang sama ada Lee Jhe-hsuei-Yang Po-hsuan dari Taiwan atau beregu Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh.
Turut menceriakan kem negara ialah beregu campuran, Soon Huat-Shevon yang tidak berdepan masalah menyingkirkan rakan senegara Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien 21-17, 21-12 dalam tempoh hanya 30 minit.
Sebagai pilihan kelapan kejohanan, mereka bakal berdepan cabaran lebih sukar di pusingan kedua apabila menanti pemenang antara pasangan tuan rumah, Gao Jiaxuan-Wu Mengying atau wakil Taiwan, Ye Hong-wei-Nicole Gonzales Chan.
Dua kemenangan ini menjadi suntikan semangat buat skuad badminton negara yang sedang mencari rentak lebih konsisten dalam siri kejohanan jelajah dunia. – KOSMO! ONLINE














