JOHOR BAHRU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berjaya mematahkan cubaan menyeludup air zamzam tanpa permit sah dengan merampas 107,910 liter air zam zam bernilai RM3.23 juta, bulan lalu.
Pengarahnya, Aminul Izmeer Mohd. Sohaimi berkata, kegiatan itu terbongkar setelah Bahagian Penguatkuasaan menjalankan pemeriksaan terhadap empat kontena 40 kaki di Bay Pemeriksaan Kontena, Zon Bebas Pelabuhan Johor, pada 5 dan 14 Ogos lalu.
Katanya, pemeriksaan rapi dilakukan terhadap kontena-kontena berkenaan setelah disyaki membawa dagangan larangan disyaki air zamzam tanpa permit import yang sah.
“Hasil pemeriksaan rapi menjumpai sejumlah 21,582 botol atau 107,910 liter air zamzam, dengan nilai dagangan dianggarkan RM2.58 juta manakala jumlah duti dan cukai terlibat sekitar RM647,460.
“Air zamzam adalah barang larangan yang hanya boleh diimport dengan lesen khas mengikut Butiran 35, Bahagian I, Jadual III, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
“Lebih mengejutkan, dagangan tersebut diikrarkan melalui Borang Kastam 4, Inward Manifest dan Bill of Lading sebagai “Holy Water/Ordinary Water” bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan.
Kes ini masih dalam siasatan di bawah Peraturan 30(1), Peraturan Zon Bebas 1991, iaitu kesalahan mengimport barang larangan di zon bebas tanpa permit.
Dalam kes berasingan, Aminul Izmeer berkata, pihaknya berjaya membongkar taktik licik penyeludupan yang menyembunyikan sebilangan cecair vape di bahagian belakang tempat duduk pemandu.-KOSMO! ONLINE