BRASILIA – Mahkamah Agung Brazil menjatuhkan hukuman penjara 27 tahun terhadap bekas presiden Jair Bolsonaro atas tuduhan merancang rampasan kuasa dalam pengakhiran perbicaraan yang memecahbelahkan rakyat dan mengundang kemarahan Amerika Syarikat (AS).
Hukuman semalam bakal menyaksikan pemimpin berhaluan kanan berusia 70 tahun itu menghabiskan sisa hidupnya di dalam penjara.
Panel hakim mengundi 4-1 untuk mensabitkan Bolsonaro kerana merancang menggulingkan Luiz Inacio Lula da Silva selepas dia tewas dalam pilihan raya pada Oktober 2022.
Pendakwa raya berkata, rancangan Bolsonaro gagal hanya kerana kekurangan sokongan daripada barisan pegawai kanan tentera.
Bolsonaro masih boleh merayu keputusan itu kepada dewan penuh Mahkamah Agung.
Sementara itu, Washington segera bertindak balas terhadap keputusan tersebut.
Setiausaha Negara Marco Rubio berkata, AS ‘akan bertindak sewajarnya’ dan menganggap tuduhan terhadap Bolsonaro sebagai ‘pemburuan ahli sihir’ yang bermotifkan politik.
Kementerian Luar Brazil kemudian membalas bahawa negaranya tidak gentar dengan ‘ancaman’ Rubio.
Bolsonaro menjadi bekas presiden Brazil keempat didapati bersalah di mahkamah sejak sistem pentadbiran demokrasi kembali pada tahun 1985 selepas dua dekad pemerintahan diktator tentera.
Lula sendiri pernah menghabiskan tempoh 19 bulan di dalam penjara pada 2018-2019 atas tuduhan rasuah yang kemudiannya digugurkan.
Populariti veteran politik berumur 79 tahun itu merosot sebelum perbicaraan Bolsonaro, namun kembali melonjak selepas konfrontasi dengan Amerika Syarikat.
Lula menonjolkan dirinya sebagai pelindung kedaulatan Brazil ketika berdepan dakwaan campur tangan AS dalam hal ehwal negara berkenaan. Beliau juga menyatakan akan bertanding semula pada pilihan raya tahun depan. – AFP