fbpx
LIMFOMA ialah sejenis kanser darah yang menyasarkan limfosit iaitu sel darah putih penting dalam tubuh manusia. – Gambar Hiasan

Golongan lelaki lebih berisiko hidap limfoma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI Malaysia, limfoma merupakan antara kanser yang paling lazim berlaku dalam kalangan masyarakat.

Limfoma ialah sejenis kanser darah yang menyasarkan limfosit iaitu sejenis sel darah putih penting.

Sel darah ini bertanggungjawab untuk melindungi tubuh daripada sebarang jangkitan seperti bakteria dan virus. 

Ia terjadi apabila mutasi dalam limfosit normal bertukar menjadi sel kanser tidak normal. 

Jenis limfoma ini boleh diklasifikasikan kepada dua kategori iaitu Limfoma Bukan Hodgkin (NHL) dan Limfoma Hodgkin (HL).

Menurut laporan Globocan 2022, NHL menduduki tempat ke-10 di seluruh dunia berbanding kanser lain. 

Ia merangkumi 553,389 kes, dan 250,679 kematian pada tahun tersebut.  Di Malaysia, limfoma adalah  kanser keempat paling lazim dan ketujuh penyebab utama kematian disebabkan kanser.

Pakar Perunding Hematologi dan Pakar Perubatan Transplan daripada Pusat Perubatan Sunway di Bandar Sunway, Dr. Hon Siong Leng berkata, perbezaan utama antara HL dan NHL terletak pada kehadiran sel ‘Reed-Sternberg’ yang hanya terdapat dalam HL tetapi tidak dalam NHL. 

Menurutnya, HL biasanya didiagnosis pada golongan belia, manakala NHL lebih kerap berlaku pada orang lebih berusia dan mempunyai banyak subjenis termasuk limfoma sel B dan limfoma sel T.

“Tidak seperti limfosit biasa, sel-sel yang tidak normal ini berkembang dengan pantas dan mempunyai jangka hayat lebih panjang. 

“Sel-sel kanser ini merebak melalui darah dan sistem limfatik, dan akhirnya membiak di pelbagai bahagian badan termasuk nodus limfa, limpa, sumsum tulang serta organ-organ lain. 

“Akibatnya, pesakit yang menghidap limfoma biasanya akan menunjukkan pembengkakan nodus limfa tanpa rasa sakit atau kiraan darah tidak normal,” katanya.

Walaupun NHL lebih lazim daripada HL, namun golongan lelaki mempunyai risiko lebih tinggi untuk menghidap kedua-dua jenis limfoma ini. 

Dr. Siong Leng memaklumkan, individu dengan limfoma mungkin mengalami pelbagai gejala seperti demam berpanjangan tanpa sebab jelas dengan suhu badan melebihi 39.5 darjah Celsius, penurunan berat badan tidak dijangka, ruam atau kegatalan pada kulit dan peluh pada waktu malam yang luar biasa. 

PESAKIT limfoma boleh mengatasi cabaran kanser itu dengan mengamalkan diet seimbang. – Gambar hiasan

Jadi, penting untuk mengenal pasti gejala-gejala ini pada peringkat awal kerana diagnosis yang tepat pada masanya dan intervensi awal boleh meningkatkan hasil rawatan dengan ketara.

“Walaupun limfoma boleh menjejaskan individu di semua peringkat umur, namun terdapat beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko untuk menghidap penyakit ini. 

“Risiko untuk menghidap limfoma lebih tinggi apabila usia meningkat terutamanya NHL dengan umur median diagnosis adalah 67 tahun. 

“Di Malaysia, NHL adalah kanser keenam paling lazim dalam kalangan lelaki dan kanser kelapan paling tinggi bagi golongan wanita,” jelas Dr. Siong Leng.

Namun begitu, umur hanyalah salah satu daripada banyak faktor risiko lain. 

Individu dengan sistem imun yang lemah lebih berisiko terdedah kepada limfoma. 

Ini termasuk mereka yang pernah menjalani pemindahan organ dan mengambil ubat imunosupresif serta dijangkiti virus seperti HIV, AIDS atau virus Epstein-Barr (EBV).

Dr. Siong Leng juga menegaskan bahawa individu yang mempunyai sejarah keluarga pernah menghidap limfoma dan faktor persekitaran turut memainkan peranan dalam meningkatkan risiko kanser ini. 

“Terdedah kepada bahan kimia seperti benzena, racun perosak dan racun rumpai seperti glifosat turut dikaitkan sebagai punca peningkatan risiko penyakit ini. 

“Selain itu, individu yang pernah menjalani rawatan kanser seperti kemoterapi atau radioterapi juga berkemungkinan tinggi untuk menghidap limfoma pada masa akan datang,” ujarnya.

Dalam pada itu, limfoma adalah salah satu kanser yang berpeluang tinggi untuk disembuhkan. 

Dr. Siong Leng berkata, secara keseluruhan, kadar kesembuhan bagi limfoma adalah 80 peratus dengan kanser tahap empat menunjukkan kadar kesembuhan sehingga 70 peratus. 

Bagaimanapun, pilihan rawatan bergantung kepada jenis dan peringkat limfoma serta tahap keagresifan kanser. 

Rawatan biasa termasuk imunokimoterapi, terapi sinaran, terapi sasaran, pemindahan sel stem atau sumsum tulang autologus dan terapi sel T reseptor antigen kimerik (CAR-T). 

Justeru, penting bagi seseorang pesakit untuk berbincang dengan doktor pakar bagi merancang pelan rawatan terbaik.

“Diagnosis limfoma boleh memberi kesan kepada pesakit secara mental dan fizikal. 

“Kesan sampingan daripada rawatan yang dijalani serta kelesuan emosi dalam melawan kanser boleh menjejaskan kualiti hidup pesakit. 

“Namun begitu, penghidap limfoma boleh mengatasi cabaran ini dengan mengamalkan diet seimbang.

“Ia merangkumi protein tanpa lemak, bijirin penuh dan produk tenusu penuh lemak, makan makanan yang dimasak sepenuhnya semasa rawatan dan elak pengambilan ubat-ubatan tradisional untuk mencegah kemungkinan intervensi ubat,” kata Dr. Siong Leng.

Apabila melibatkan aktiviti harian, amalan meditasi atau latihan menenangkan diri seperti senaman pernafasan boleh mengurangkan tekanan dan kelesuan pesakit, sekali gus  meningkatkan kualiti hidup mereka. 

Kumpulan sokongan juga boleh menambah baik hasil rawatan dengan sama-sama membantu menguruskan gejala dan kesan sampingan serta memberikan sokongan emosi dan rohani. Limfoma merupakan musuh yang hebat, tetapi dengan pengesanan awal, rawatan tepat dan sokongan utuh, kansert tersebut boleh dilawan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN