MONAGAS, Venezuela – Colombia meleburkan impian Venezuela untuk beraksi di pentas Piala Dunia 2026 menerusi kemenangan 6-3 dalam aksi terakhir kelayakan zon Amerika Selatan di Stadium of Monagas pagi tadi.
Kemenangan itu menyaksikan Colombia menutup kempen kelayakan di tangga ketiga, manakala Venezuela terpaksa akur berputih mata apabila mengakhiri saingan di kedudukan kelapan iaitu ketiga tercorot.
Menariknya, penyerang Sporting Lisbon, Luis Suarez yang dibeli menggantikan Viktor Gyokeres ke Arsenal, menunjukkan taring sebenarnya apabila meledak empat gol buat Colombia.
“Saya sangat berbangga dengan apa yang ditunjukkannya (Suarez) dalam perlawanan ini. Ia sesuatu yang mengagumkan apabila anda dapat menjaringkan empat gol,” kata pengendali Colombia, Nestor Lorenzo.
Suarez, 27, meledak empat gol bermula minit ke-42, 50, 59 dan 67, manakala dua lagi jaringan bekas juara Copa America itu diperoleh menerusi Yerry Mina (m-10) serta Jhon Cordoba (m-78).
Venezuela pula terpaksa akur dengan kehebatan Colombia yang menguasai sepenuhnya perlawanan dari segi penguasaan bola dan juga percubaan keseluruhan meskipun mereka berjaya meledak tiga gol menerusi Telasco Segovia, Josef Martinez serta Salomon Rondon.
Apa yang lebih memeritkan Venezuela adalah Bolivia berjaya meraih slot playoff yang sepatutnya milik mereka hasil kemenangan mengejut 1-0 ke atas Brazil dalam satu lagi aksi berlangsung pagi tadi.
Ia sekali gus mematahkan impian seluruh rakyat Venezuela untuk menyaksikan pasukan No. 46 dunia itu untuk membuat penampilan pertama di pentas Piala Dunia yang akan diadakan di Amerika Syarikat, Kanada dan exico tahun depan. – AGENSI