LONDON – Pihak pengurus Manchester United dilapor sudah bersiap sedia dan memiliki nama untuk dilantik sebagai pengurus baharu pasukan itu sekiranya mereka terpaksa memecat Ruben Amorim.
Amorim dilapor menjadi ‘calon’ baharu pengurus yang mungkin akan dipecat selepas Nuno Espirito Santo disingkirkan Nottingham Forest kelmarin apabila prestasi United dikatakan masih belum mencapai tahap terbaik.
Selepas dilantik menggantikan Erik Ten Hag pada November tahun lalu, Amorim yang dianggap memiliki pengalaman cetek berdepan kesukaran untuk memastikan taktikal kegemarannya 3-4-3 benar-benar berkesan buat United.
Musim lalu mereka sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-15 Liga Perdana Inggeris, tewas pada aksi final Liga Europa dan gagal beraksi dalam kesemua aksi di pentas Eropah musim ini serta sudah tersingkir daripada saingan Piala Liga Inggeris.
United telah mengeluarkan belanja yang cukup besar pada jendela perpindahan lalu untuk membantu meningkatkan prestasi pasukan, namun mereka dilihat terus bergelut menyebabkan langkah memecat Amorim mungkin menjadi pertimbangan seterusnya.
Situasi itu menyebabkan pihak pengurusan United dikatakan menamakan pengendali dari Sepanyol yang kini sedang mengemudi Aston Villa, Unai Emery sebagai calon baharu yang sesuai jika Amorim tidak mampu untuk dikekalkan.
Emery dikatakan berdepan kecewa di Villa Park ketika ini apabila gagal mendapat sokongan yang baik pada pasaran perpindahan menyebabkan United sedia memanfaatkan situasi berkenaan. – AGENSI