PETALING JAYA – Kemenangan cemerlang atlet wushu negara, Lee Jia Rong yang menghadiahkan pingat emas keempat buat Malaysia di Kejohanan Wushu Dunia 2025 di Brasília, Brazil telah menarik perhatian netizen.
Menerusi hantaran oleh @AlawiyahYussof di laman X, dia berharap agar atlet berusia 23 tahun itu disambut dengan penuh meriah sebaik tiba di tanah air sebagai tanda penghargaan atas pencapaiannya di pentas dunia.
“Dia patut disambut dengan parti sambutan besar-besaran di lapangan terbang,” ujarnya.
Hantaran itu mendapat pelbagai maklum balas daripada pengguna X yang lain apabila mereka turut bersetuju dengan perkongsian tersebut.
“Kesemua pasukan berhak disambut sebagai hero apabila pulang nanti. Koleksi terbaik emas dalam kejohanan dunia,” komen Azrin Mohd Azidin.
“Boleh tak kita sambut atlet macam kita sambut artis K-pop?,” kata Jacobs Cereal.
Kosmo! melaporkan, skuad wushu negara menutup tirai Kejohanan Dunia di Brasilia, Brazil dengan kejayaan gemilang apabila berjaya membawa pulang pingat emas kelima awal pagi semalam.
Emas itu hadir menerusi gandingan mantap Lee Jia Rong, Pang Pui Yee dan Tan Cheong Min yang mengungguli acara duilian wanita selepas memungut 9.630 mata.
Trio wanita negara itu mengetepikan cabaran Itali yang berpuas hati dengan kejayaan pingat perak (9.623 mata), manakala gangsa menjadi milik Hong Kong (9.613 mata).
Kejayaan itu cukup bermakna buat Jia Rong dan Cheong Min kerana mereka turut memenangi pingat emas bagi acara individu masing-masing sebelum ini.
Jia Rong menghadiahkan emas keempat negara menerusi daoshu dengan catatan 9.726 mata, manakala sehari sebelum itu Cheong Min menyumbang emas dalam acara nangun. – KOSMO! ONLINE














