KEMAMAN – Dua pelajar lelaki tingkatan lima sebuah kolej vokasional di daerah ini mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas seorang rakan asrama pada empat bulan lalu di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Kedua-dua tertuduh berusia 17 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin.
Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa mencederakan rakan lelaki yang juga berusia 17 tahun dengan menumbuk badan dan menyepak kaki mangsa.
Salah seorang tertuduh juga didakwa mencederakan mangsa sama dengan menyepak punggungnya.
Perbuatan mereka didakwa dilakukan di koridor bilik asrama kolej vokasional tersebut pada pukul 12.30 tengah malam, 27 Mei lalu.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kosmo! 29 Mei lalu melaporkan lima pelajar sebuah kolej vokasional di sini ditahan polis bagi membantu kes pergaduhan dan pukul seorang pelajar lelaki yang berlaku di kawasan asrama.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Razi Rosli berkata, siasatan awal percaya perbalahan berpunca daripada rasa tidak puas hati mangsa setelah seorang tertuduh menendang katil untuk mengejutnya tidur. – KOSMO! ONLINE














