KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah pun mengikuti segala prosedur operasi standarad (SOP) ditetapkan dalam menguruskan peruntukan sebanyak RM15 juta yang diterima daripada pihak kerajaan.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman menjelaskan, badan induk bola sepak negara itu juga menghantar laporan berhubung setiap perbelanjaan yang dibuat seperti diminta kerajaan.
“Untuk makluman, penyata perbelanjaan dihantar kepada Kementerian Kewangan (MoF) setiap tiga bulan sekali. FAM turut menghantar penyata kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) pada setiap bulan.
“KBS adalah badan bertanggungjawab bagi memantau setiap perbelanjaan mengikut seperti apa yang sudah diluluskan sebelum ini,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas satu laporan berhubung penggunaan peruntukan yang diberikan kerajaan dan turut memetik pemberian RM15 juta untuk pasukan bola sepak kebangsaan.
Pada 3 September tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM15 juta bagi memperkasakan pasukan bola sepak kebangsaan sebagai komitmen kerajaan terhadap kebajikan, latihan dan pengurusan Harimau Malaya.
Tambah Noor Azman, setiap wang yang digunakan daripada peruntukan tersebut sudah pun dimasukkan dalam laporan perbelanjaan selain mematuhi kesemua SOP ditetapkan pihak kerajaan.
“Setiap sen yang digunakan daripada peruntukan kerajaan telah dimasukkan dalam laporan perbelanjaan dan mengikut semua SOP kerajaan. Perbelanjaan itu adalah untuk pasukan kebangsaan, bukannya persatuan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE